Selasa, 3 Januari 2012

Ameerah kecewa polis 'lempar batu sembunyi tangan'

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR- Ameerah Malaysia mengecam kesal cara pihak polis dalam menangani kumpulan mahasiswa di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) semalam.

Pengerusinya, Fareedah Samad berkata, tragedi berdarah 1 Januari 2012 itu dianggap detik paling hitam kepada seluruh dunia akademik dan sistem demokrasi di negara ini.

Katanya, apapun alasan yang diberi oleh pihak polis, sebetulnya hanya sekadar helah bagi menutupi apa yang telah mereka lakukan terhadap golongan anak muda yang sekadar hadir untuk menuntut kebebasan akademik tanpa membawa apa-apa senjata jauh sekali untuk dilabel sebagai penjenayah.

“Tindakan pihak polis menahan 17 orang mahasiswa termasuk seorang pelajar perempuan melebihi 12 jam juga melambangkan sikap ‘double-standard’ yang diamalkan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Sedangkan, katanya sedari awal perhimpunan aman itu, beberapa orang mahasiswa telah mengisytiharkan bahawa mereka bukan mahu bermusuh dengan pihak polis malah telah berterima kasih atas kawalan yang dibuat ke atas mereka.

Katanya, kenyataan pihak polis yang mengatakan kecederaan yang dialami oleh dua orang siswa dalam peristiwa itu akibat ‘rempuhan sendiri’ ke klinik berhampiran, langsung tidak masuk akal dan jelas menunjukkan pihak polis tidak mahu bertanggungjawab dan mengambil sikap ‘lempar batu sembunyi tangan’.

Menurutnya, hasil maklumat yang diterima secara jelas menunjukkan pihak polis telah menyalahgunakan kuasa mereka dengan melakukan kekerasan terhadap golongan anak muda mahasiswa.

Justeru, katanya Ameerah Malaysia menuntut satu siasatan menyeluruh dilakukan oleh terhadap pihak polis yang terlibat juga meminta Kementerian Dalam Negeri bertangungjawab sepenuhnya dalam peristiwa berdarah itu.

“Ameerah juga melahirkan rasa kekecewaan yang teramat terhadap pihak polis dan peristiwa itu juga sememangnya telah menghakis kepercayaan anak muda terhadap Polis DiRaja Malaysia,” ujarnya.-Harakahdaily

Tiada ulasan: