Selasa, 10 Januari 2012

AIC: Tiada Lagi Kompromi Dalam Isu Fitnah

Oleh TVSelangor



SHAH ALAM: Kelab Anwar Ibrahim (AIC) berharap pihak berkuasa termasuk badan kehakiman di negara ini perlu mengekang sebarang bentuk fitnah yang disasarkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden AIC, M Hadi Hamka berkata pihak berkuasa tidak perlu ada kompromi dalam hal ini, tanpa mengira sasaran, budaya fitnah harus dikekang dan dihentikan sepenuhnya.

Katanya pembebasan Anwar semalam membuktikan bahawa segala fakta-fakta perundangan yang telah dikemukakan oleh pasukan peguam pembela Anwar berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah sehingga gagal disanggah oleh pasukan pendakwaraya.

"Walaupun mahkamah membebas dan melepaskan Datuk Seri Anwar, AIC melihat ini bukanlah bermakna sistem kehakiman Malaysia sudah bebas sepenuhnya. Malah, AIC berpandangan sekiranya sistem kehakiman Malaysia mempunyai integriti yang tinggi, kes ini sewajarnya dibuang lama dahulu kerana kes yang dibawa pendakwa adalah kes yang rapuh dan tidak kredibel sama sekali," kata beliau dalam kenyataan medianya.

Menurut beliau dengan pembebasan Anwar menjadi nafas baru dalam usaha memperjuangkan kepentingan seluruh rakyat di negara ini melalui usaha menguasai kerajaan persekutuan.

"Tanggal 9 Januari harus menjadi satu permulaan baru untuk rakyat Malaysia, memperbaharui azam dan tekad untuk mengeluarkan Malaysia dari gejolak rasuah, salahguna kuasa dan sistem tadbirurus negara yang lompong. Perubahan yang dituntut, melangkaui perbezaan agama, ideologi dan kaum: ianya untuk masa depan generasi muda Malaysia pastinya.' kata beliau

Tiada ulasan: