Sabtu, 14 Januari 2012

Abdul Gani elak soalan mengenai rayuan kes Anwar

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini mengelak soalan pemberita mengenai sama ada pejabatnya akan memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada pertuduhan liwat Isnin lepas.

ghani patail gani 060409Beliau sebaliknya lebih suka untuk membincangkan mengenai
memancing, cuti Tahun Baru Cina dan hujung minggu, daripada melayan soalan media mengenai Anwar.

"Anda tahu, ini adalah hujung minggu dan hari ini adalah hari Sabtu dan dengan Tahun Baru Cina semakin hampir, saya ingin pergi memancing," katanya ketika dikerumuni pemberita.

Anwar telah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada pertuduhan liwat Isnin lalu apabila Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menolak keterangan DNA.

Pendakwaan yang diketuai oleh Peguam Cara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden telah mengesyorkan supaya rayuan dibuat terhadap keputusan tersebut.

Pasukan itu telah mengemukakan syor tersebut Rabu lalu kepada bahagian perbicaraan dan Rayuan, Pejabat Peguam Negara.

Bagaimanapun, sehingga semalam, ketua bahagian tersebut, Kamaluddin Md Said berkata tiada lagi keputusan dibuat berhubung perkara itu.

Pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan dan bapanya, Azlan Md Lazim telah menggesa pihak pendakwaan supaya memfailkan rayuan demi menjaga maruah mereka.

Pihak pendakwaan mempunyai 14 hari untuk memfailkan rayuan dari tarikh keputusan itu dibuat dan kerana cuti Tahun Baru Cina yang akan datang, maka hari terakhir untuk berbuat demikian ialah pada 25 Januari.

Tiada ulasan: