Selasa, 10 Januari 2012

901: Kebangkitan rakyat tidak boleh dibendung lagi

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR- Gelombang kebangkitan rakyat untuk menuntut keadilan ternyata tidak dapat dibendung lagi meskipun diganggu dengan pelbagai halangan.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr. Abdul Rani Osman (gambar) berkata, ianya jelas digambarkan melalui perhimpunan 901 yang dihadiri ribuan rakyat dari seluruh negara hari ini.

"Himpunan hari ini bagi signal bahawa apa sahaja halangan yang dibuat, tetapi akhirnya suara rakyat yang memutuskan untuk turun ke perhimpunan ini," kata beliau ketika ditemui di perkarangan Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta.

Dr. Rani yang juga Adun Meru sekali lagi menegaskan, rakyat bukan menyertai perhimpunan 901 kerana peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun kerana ingin menujukkan rasa tidak puas hati terhadap kepincangan sistem kehakiman di negara ini.

"Seperti yang kita katakan sebelum ini, sama ada keputusan Anwar bebas atau sebaliknya, perjuangan ini diteruskan.

"Ini bukan perjuangan membebaskan Anwar Ibrahim tetapi di belakangnya, perjuangan menegakkan keadilan dan ini dituntut oleh Islam," katanya.

Tambah beliau, gelombang seperti ini diharap dapat dikekalkan sehingga pilihan raya umum ke-13.

"Momentum inilah kita harap dikekalkan sehingga pilihan raya akan datang," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi memutuskan Anwar yang merupakan Ketua Umum PKR, bebas daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah kondominium, empat tahun lalu.

Mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati wujudnya elemen tiada integriti dalam sampel DNA.

Keputusan itu diterima dengan rasa syukur oleh pimpinan, ahli dan penyokong Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, perhimpunan 901 mendapat tentangan hebat daripada Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang dipimpin ahli Parlimen Bebas, Datuk Ibrahim Ali.

Perkasa yang juga mensasarkan ribuan ahlinya hadir menentang perhimpunan 901 bagaimanapun tidak kelihatan pagi tadi. -Harakahdaily

Tiada ulasan: