Jumaat, 23 Disember 2011

Umno burukkan DAP untuk undi Melayu

"Kita mengetahui perkara ini dibuat oleh Umno sejak tahun 2008", kata Setiausaha DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah.



PETALING JAYA: DAP Selangor mengesahkan usaha Umno memburukkan DAP di kawasan majoriti Melayu bagi menakutkan kaum tersebut kepada parti itu sejak tahun 2008.

Pergesahan ini dibuat oleh Setiausaha DAP negeri Ean Yong Hian Wah merangkap Adun Seri Kembangan.

“Kita mengetahui perkara ini dibuat oleh Umno sejak tahun 2008. Bagaimanapun, tinjauan umum yang dibuat secara bebas mendapati rakyat Melayu masih menyokong Pakatan,”katanya.

Ean berkata demikian ketika diminta mengulas usaha Umno yang dikatakan berkempen di kawasan luar bandar yang mempunyai undi Melayu yang besar di Selangor seperti Sekinchan.

Semalam penulis undangan FMT Selena Tay menyatakan Umno sedang berkempen di kawasan luar bandar dengan menyebarkan dakyah yang memburukkan DAP di kalangan pengundi Melayu.

Kelemahan DAP

Selena menambah DAP yang merupakan sebahagian dari gabungan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor belum mengambil tindakan untuk mengatasi masalah ini.

Ean turut mengakui kelemahan DAP untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu luar bandar di Selangor.

“Kita sedang berusaha untuk mendapatkan lebih ramai ahli dari kalangan masyarakat Melayu.

Tiga dari 13 kerusi DUN yang dipegang DAP terletak di kawasan luar bandar dengan majoriti pengundi Melayu.

Kerusi tersebut ialah Sekinchan (Ng Suee Lim), Teluk Datuk (Philip Tan) dan Sungai Pinang (Teng Chang Kim).

Siapa orang Umno itu?

Ean yang juga merupakan exco Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram menambah parti sedang berusaha menangani dakyah Umno dengan mengedarkan buletin parti Roketkini dan media kerajaan negeri seperti Selangor Kini.

Sementara itu Ketua Penerangan Umno Selangor Abdul Syukur Idrus menafikan bahawa Umno menjalankan kempen dakyah memburukkan DAP.

“DAP kena buktikan siapa orang Umno yang dimaksudkan. Mereka mengeluarkan kenyataan lapuk.

“Saya tak pernah dengar pun mengenai kempen ini,” kata Abdul Syukur yang juga ialah Adun Kuang.

Beliau menambah bahawa Umno Selangor tidak perlu menggunakan kempen dakyah untuk memburukkan DAP.

“Kita akan ceritakan apa yang telah kita buat dan apa yang akan kita buat untuk rakyat.”

Tiada ulasan: