Jumaat, 23 Disember 2011

Siswa pro-A enggan bertemu Saifuddin


MALAYSIA KINI

Timbalan menteri pengajian tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata kumpulan pelajar pro-Aspirasi yang berdemonstrasi di hadapan bangunan kementeriannya semalam enggan untuk mengadakan pertemuan dengannya hari ini.

Katanya, jemputan berkenaan telah disuarakan oleh setiausaha sulit kanannya, Mohd Nazri Noh ketika menerima memorandum kumpulan pelajar itu semalam.

"Beliau juga memaklumkan kepada mereka bahawa saya menjemput mereka mengadakan pertemuan di Parlimen pada jam 12.15 tengahari ini, tetapi ditolak," katanya lagi.

Tambahnya, beliau juga menerima satu lagi memorandum daripada kumpulan pelajar terbabit, termasuk presiden Aspirasi, Mohd Shahar Abdullah, ketika pertemuan dalam satu program debat di Universiti Putra Malaysia pada malam tadi.

"Pertemuan itu berlangsung dalam tempoh yang singkat sahaja dalam suasana mesra di mana kami bersalaman sambil tersenyum," katanya.

Tambahnya, beliau tetap menyayangi pelajar berkenaan walau kumpulan berkenaan telah berdemonstrasi supaya beliau meletak jawatan.

Katanya lagi, pelajar berkenaan berhak untuk mengadakan perhimpunan dan beliau mempertahankan hak tersebut.

"Saya juga dimaklumkan bahawa sebahagian daripada yang hadir itu ialah mahasiswa. Kepada mereka, saya ingin nyatakan bahawa kasih saya pada mereka tidak berubah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kumpulan pelajar tersebut berdemonstrasi hampir dua jam di hadapan pejabat Saifuddin semalam untuk beliau meletak jawatan kerana didakwa "terlalu mesra" dengan pelajar pro-Mahasiswa.

Tindakan kumpulan pelajar itu adalah satu reaksi balas kepada satu lagi perhimpunan anjuran kumpulan pelajar pro-Mahasiswa di Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu.

Perhimpunan kumpulan pelajar Solidariti Mahasiswa Malaysia itu mencetus kontroversi apabila sebahagian daripada mereka bertindak menurunkan satu kain bercetak wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di hadapan ibu pejabat Umno.

Tiada ulasan: