Sabtu, 24 Disember 2011

Sedia Temui Pimpinan PAS untuk Selesai Isu- Hasan Ali

Oleh Afeeqa Afeera


KUALA LUMPUR : Datuk Dr Hasan Mohamed Ali bersedia mengadakan pertemuan bersama pimpinan tertinggi parti PAS pada bila-bila masa sahaja bagi menyelesaikan 'kemelut' yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, Dr Hasan yang juga Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor berkata, sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada parti(PAS) berhubung perkara berkenaan.

"Saya belum menerima surat lagi tetapi demi untuk mencari kedamaian, demi untuk mencari satu titik penyelesaian dan demi mengelakkan polemik mahupun kegusaran di kepala dan hati penyokong PAS, saya bersedia pada bila-bila masa kerana saya patuh kepada pimpinan dan memerlukan pandangan tentang polemik yang berlaku serta input yang patut disampaikan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti," katanya.

Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat memutuskan untuk memanggil Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu bersama Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip untuk memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Hasan yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia turut menjelaskan bahawa beliau tidak akan menerima tawaran Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali untuk menyertai organisasi itu di peringkat sekarang.

Jelasnya, beliau ingin memberi tumpuan kepada perjuangannya dalam menegakkan wadah dan ajaran Islam yang akan memberi kesan positif kepada masyarakat.

"Itu saya serahkan kepada dia (Ibrahim) kerana itu pandangan peribadi dia. Tetapi sehingga hari ini, saya tidak berhajat kerana saya ingin menumpukan kepada mesej yang kami bawa selama ini iaitu Islam, Melayu dan sistem beraja itu.

"Saya cuba untuk fokus tidak kira besar atau kecil perkara itu. Saya mengucapkan terima kasih kepada Ibrahim Ali. Beri saya peluang untuk berjuang dalam wadah sedia ada bagi memberi impak positif kepada rakyat," katanya.

Tiada ulasan: