Rabu, 21 Disember 2011

Rakyat tetap tolak Akta Perhimpunan Aman- Syed Husin

Oleh: Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Akta Perhimpunan Aman yang diluluskan kerajaan tidak akan menghalang dan melemahkan kebangkitan rakyat dalam menuntut hak mereka, tegas Senator Syed Husin Ali.

“Rang Undang-Undang yang baru dilulus ini lebih kejam, namun saya yakin ia akan ditolak rakyat sebagaimana yang berlaku pada perhimpunan Bersih 9 Julai lalu.

“Lihat sahaja semasa perhimpunan itu, makin rakyat dihalang, ribuan tetap hadir bagi menuntut hak mereka di jalan raya,” kata beliau ketika dihubungi Keadilandaily.

RUU Perhimpunan Aman akhirnya diluluskan semalam selepas lapan Anggota Dewan Negara dari Pakatan Rakyat tidak berjaya menyekat apabila 39 anggota dewan daripada BN mengundi untuk menyokong.

Menurut Syed Husin, RUU itu dilulus secara tergesa-gesa kerana pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, kian bimbang kuasa Umno-BN berkubur pada pilihan raya umum akan datang.

“RUU Perhimpunan Aman dilulus tergesa-gesa kerana Umno BN bimbang dan semakin tertekan dalam usaha mereka mempertahankan kuasa yang terus ditolak rakyat menjelang PRU ke-13,” katanya.

Beliau juga kesal kerana kerajaan enggan mendengar pandangan daripada wakil masyarakat sivil dan profesional seperti peguam, sebelum meluluskan akta berkenaan.

“Perbahasan dalam Dewan Negara dan Dewan Rakyat sahaja tidak cukup kerana sepatutnya kerajaan turut menjemput dan memberi ruang kepada orang awam untuk berunding mengenainya,” katanya.

Tiada ulasan: