Rabu, 21 Disember 2011

PKR yakin SPRM temui rasuah dalam projek lembu

Setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya badan itu menyiasat penglibatan menteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam skandal projek National Feedlot Centre (NFC).

Saifuddin berkata, asas utama dakwaan beliau hari ini adalah "adakah pada ketika kerajaan luluskan pinjaman RM250 juta itu menteri terlibat dan hadir mesyuarat (kabinet)."

Katanya lagi, SPRM perlu menyiasat sama ada Shahrizat mengetahui mengenai pembabitan keluarganya dalam projek berkenan ketika mesyuarat jemaah menteri itu berlangsung.

Tambahnya, beliau tidak mahu SPRM memberi alasan sama seperti yang diberikan selepas satu laporan berkenaan dibuat sebelum ini berhubung pembelian kondominium mewah One Menerung daripada dana NFC.

"Kita tidak mahu SPRM beri alasan lagi bahawa kes itu bukan kes rasuah.

"Dengan kompilasi bukti ini, kita berpendapat SPRM pasti akan temui elemen rasuah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Antara bukti yang turut diserahkan kepada SPRM hari ini akaun syarikat, status pegangan saham, sijil saham dan juga hasil carian data di Suruhanjaya Syarikat Malaysia, katanya lagi.

Saifuddin yang kini terikat dengan Seksyen 29(4) Akta SPRM 2009 berhubung kes berkenaan turut ditemubual hampir dua jam di pejabat SPRM Selangor, Shah Alam.

Seksyen berkenaan menghalang pengadu daripada mendedahkan butiran aduan tersebut kepada awam.

"Tapi kalau ada maklumat baru, contohnya ada kondo di Australia pula, saya boleh beritahu," katanya berseloroh.

Tambahnya, beliau turut diberitahu bahawa kes berkenaan akan diserahkan untuk disiasat oleh ibu pejabat SPRM Putrajaya memandang kes berkenaan berprofil tinggi.

Tiada ulasan: