Khamis, 29 Disember 2011

Pemimpin PAS berjiwa besar, junjung ukhwah

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) mengucapkan terima kasih dan penghargaan setingginya kepada pucuk pimpinan PAS yang berjaya menyelesaikan kemelut dalaman secara penuh ukhwah dan semangat persaudaraan melalui pertemuan khusus yang diadakan semalam.

“DPP Malaysia merasa terharu kerana pimpinan PAS bingkas menyelesaikan segala konflik dan kemelut dalaman yang membelenggu PAS beberapa minggu ini dengan penuh sifat tawadduk dan merendah diri,” kata naib ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss.

Katanya, pertemuan dan penyelesaian penuh bermakna antara Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Datuk Dr Hassan Ali dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa pastinya akan menjernihkan keadaan dan memadamkan fitnah yang selama ini membakar dan meliar di dalam gerakan Islam itu.

Menurutnya, masyarakat khususnya yang beragama Islam melihat bahawa PAS mampu menjadi contoh kepada semua parti politik bagaimana pengurusan konflik boleh diselesaikan dengan baik dan mudah tanpa persengketaan yang panjang.

Katanya, meskipun terdapat perbezaan pandangan dan pendapat dalam beberapa perkara, akhirnya ia mampu diselesaikan di meja rundingan dalam pertemuan penuh mahabbah.

Tambahnya lagi, ternyata segala tohmahan liar segelintir golongan bahawa kemelut dalaman PAS tidak akan berkesudahan adalah suatu tuduhan tidak berasas.

PAS, ujarnya membuktikan masih menjunjung tinggi nilai ukhwah, perpaduan dan persaudaraan yang bertunjangkan kepada akidah perjuangan Islam.

“Nilai ini terus bertahan dan tidak akan luput sejak ia ditubuhkan dan selama mana hayat PAS di persada tanah air ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, DPP Malaysia percaya penyelesaian baik yang ditunjukkan antara pimpinan PAS membuktikan kepemimpinan PAS berjiwa besar dan sanggup berlapang dada bagi menyelesaikan permasalahan mereka secara baik.

PAS juga, katanya dilihat mampu menjadi pengganti Umno BN yang sudah semakin mereput menanti ajal.

“Insya Allah, keteladanan yang terpuji oleh kepemimpinan tertinggi PAS mampu menjadi bekal buat semua ahli dan pendokong PAS bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan dalam PRU ke-13,” katanya lagi.

Tiada ulasan: