Rabu, 7 Disember 2011

PAS gesa Umno henti guna politik kotor jadikan DAP ‘punching bag’

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR— PAS hari ini menggesa Umno supaya berhenti daripada menggunakan taktik politik kotor dengan menjadikan DAP sebagai “punching bag” dalam usaha menarik sokongan orang Melayu dalam pilihan raya umum ke-13.

Pada masa yang sama , parti Islam itu menasihatkan orang Melayu supaya tidak terpedaya dengan strategi Umno itu memandangkan punca kepada segala masalah dan isu dialami mereka selama bukan disebabkan DAP, tetapi parti teras BN tersebut sendiri.

“Jadi, saya minta Umno berhentilah daripada menjadikan DAP sebagai ‘punching bag’... menjadikan DAP sebagai sasaran dalam perhimpunan agung mereka baru-baru ini. Ini bagi saya satu politik yang paling kotor,” kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar) pada sidang media di sini hari ini dengan merujuk kepada ucapan-ucapan pemimpin kanan Umno dan juga perwakilan mereka.

Antara lain pemimpin dan perwakilan Umno mendakwa DAP memperkudakan PAS selain mahu menjadi Malaysia negara radikal.

Kata Mahfuz, jika orang Melayu kehilangan ekuiti sekitar RM52 bilion di bawah pemerintah Umno-BN, ia bukan disebabkan oleh DAP.

“Umno sendiri menjadi punca kepada masalah orang Melayu,” kata beliau lagi.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Pokok Sena ini menambah, perkembangan sepanjang perhimpunan agung Umno yang baru lalu menunjukkan parti tersebut sedang berhadapan dengan krisis sokongan dan kepercayaan orang-orang Melayu.

“Ucapan-ucapan presiden dan timbalan presiden Umno menunjukkan Umno bermasalah, Umno menghadapi masalah dalaman... masalah mendapatkan sokongan daripada pengundi termasuk daripada kalangan pengundi Melayu sendiri,” katanya lagi.Mahfuz menambah, rumusan perhimpunan agung tahunan Umno kali ini, yang dipercayai terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13, secara tidak langsung mengakui sudah tidak mampu menarik sokongan orang Melayu kerana urus tadbir negara yang semakin lemah di bawah pemerintahan mereka.

Katanya, ia tidak membawa sebarang harapan kepada ahli-ahli Umno dan rakyat keseluruhannya.

Oleh itu kata beliau, Umno terpaksa menuduh DAP akan lebih berkuasa dan mengambil hak orang Melayu jika orang Melayu menyokong Pakatan Rakyat.

“Saya nak ingatkan orang Melayu, jangan sampai kita takut kepada DAP, RM250 juta hilang dalam (Pusat Fidlot Kebangsaan) NFC, takut dengan DAP, RM52 bilion saham Bumiputera tinggal RM2 bilion, takut dengan DAP akhirnya RM1.8 bilion diberi kepada (bekas Pengerusi MAS, Tan Sri) Tajudin Ramli, takut dengan DAP, berlaku skandal dalam wang PPRT RM32 bilion oleh menteri Umno,” kata beliau dengan menyeranaikan diri kelemahan pentadbiran Umno, pada sidang media hari ini.

Pemimpin itu berkata, Umno terpaksa menarik sokongan orang Melayu yang semakin menurun bagi membolehkan mereka terus memerintah dan mengumpul kekayaan untuk kroni mereka.

“Umno gunakan DAP untuk takutkan orang Melayu, tapi dalam masa yang sama terus memunggah khazanah negara untuk kroni mereka,” kata beliau.

Menurut beliau juga, perhimpunan agung Umno juga membuktikan parti itu masih takut memberi ruang yang sepenuhnya kepada perwakilan untuk membincangkan soal integriti kepimpinan mereka.-TheMalaysianInsider

Tiada ulasan: