Rabu, 21 Disember 2011

Nasharudin: Saya tiada niat sertai Umno

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR - Bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa menegaskan beliau tiada hasrat sama sekali untuk keluar parti Islam dan menyertai Umno.

Katanya, dakwaan kononnya beliau “terperangkap dalam agenda permainan musuh politik PAS iaitu Umno" adalah sesuatu yang terlalu jauh menyimpang daripada kebenaran dan langsung tidak berasas.

Malah katanya, sepanjang pembabitan dalam PAS yang beliau terima sebagai wadah menyampaikan suara Islam kepada umat di Malaysia, "belum pernah saya ungkapkan bahawa saya akan menyertai Umno."

"Justeru, buat kesekian kalinya saya tegaskan bahawa saya tidak mempunyai niat sebesar zarah sekalipun untuk menyertai Umno.

"Janganlah gunakan alasan mudah seperti ini untuk menyimpulkan tindakan, pandangan atau perhitungan politik saya pada ketika kita mengharung gelombang percaturan politik yang jauh lebih mencabar," kata beliau dalam satu kenyataan.

Kata Nasharudin (gambar), beliau berharap penjelasan ringkas hari ini memadai dalam mengukur kesetiaannya terhadap perjuangan PAS.

"Saya tegaskan di sini bahawa saya adalah adalah ahli PAS, dan perjuangan saya kekal bersama PAS untuk menjunjung risalah Islam menyumbang kepada ummah dalam apa juga keadaan," katanya lagi.

Tiada ulasan: