Rabu, 7 Disember 2011

Mulai Tahun Depan Penerbit Wajib Serahkan 5 Naskhah Buku Kepada Perpustakaan Negara

MSTAR ONLINE

Timbalan Pengerusi Eksekutif Star Publications (M) Bhd Datuk Vincent Lee (kiri), Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Datuk Seri Wong Chun Wai dan Muhammad Haziq, 16, menyelak buku Hotshots pada majlis pelancarannya, di sini, Selasa. - Foto oleh NORAFIFI EHSAN


KUALA LUMPUR: Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) akan memperketatkan peraturan mewajibkan semua penerbit buku dalam negara menyerahkan lima naskhah setiap judul buku terbitan mereka kepada badan itu tahun.

Langkah ini adalah selaras dengan peruntukan Akta Penyerahan Bahan Perpusatakaan 1986.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, penerbit yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Katanya, ia adalah tuntutan undang-undang di mana lima salinan hendaklah diserahkan kepada Perpustakaan Negara dan tindakan boleh diambil sekiranya peraturan itu tidak dipatuhi.

"Ketika ini ramai penerbit tidak menghormati peruntukan ini menyebabkan senarai penerbitan dalam negara tidak lengkap," kata Rais kepada pemberita selepas melancarkan buku terbitan Stars Publications (M) Bhd bertajuk "Hotshots: 40 Year of Great News Images" oleh jurugambar-jurugambar akhbar The Star, di sini, Selasa.

Menurutnya, pengumpulan bahan terbitan tempatan oleh Perpustakaan Negara adalah bagi tujuan memastikan bahawa semua penerbitan buku di dalam negara dapat direkodkan.

Di bawah Seksyen 4(3) akta berkenaan, penerbit yang gagal menyerahkan bahan terbitan mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 jika didapati bersalah oleh mahkamah.

Sementara itu merujuk kepada buku fotografi yang dilancarkan hari ini, Rais berkata industri penerbitan buku dalam negara yang memaparkan penulisan bersama gambar ketika ini dilihat semakin menarik perhatian orang ramai.

Beliau berkata, sejak dua tahun lepas lebih 206,000 buku diterbitkan dalam negara dan hasil jualan buku pula meningkat kira-kira RM2 bilion setahun.

"Kementerian akan menambah dana bantuan penulis kepada Perpustakaan Negara, yang kini diperuntukan kira-kira RM2 juta setahun bagi menggalakkan lebih ramai penulis tempatan melahirkan karya mereka," katanya.

Buku "Hotshots:40 Year of Great News Images" memaparkan gambar-gambar yang dirakamkan oleh para jurugambar akhbar The Stars sempena ulangtahun ke-40 syarikat akhbar itu tahun ini.

Buku setebal 249 muka surat itu memuatkan gambar mengenai pemimpin kerajaan, politik, sukan, konflik dan bencana alam, dan boleh didapati di kedai-kedai buku utama seluruh negara dengan harga RM59.90 senaskhah.

Tiada ulasan: