Rabu, 7 Disember 2011

Mohamad Sabu timbang fail semula saman Utusan

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR- Peguam mewakili Mohamad Sabu, Mohamed Hanipa Maidin sedang menimbang sama ada akan membuat rayuan atau memfailkan semula saman anak guamnya terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. berhubung isu serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Johor.

Ianya ekoran saman tersebut dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam kerana ketiadaan butir-butir yang mencukupi berhubung penerbitan yang didakwa berunsur fitnah bagi menyokong tuntutan saman itu.

Hanipa berkata, rayuan atau memfail semula boleh dibuat kerana saman tersebut dibatalkan kerana masalah teknikal, bukan merit kes.

"Kita mempunyai dua pilihan samaada nak buat rayuan atau nak fail semula kerana saman ini dibatalkan kerana hakim kata ada masalah prosedur," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Semalam, Hakim Datuk John Louis O’hara berkata, Mohamad perlu mengesahkan butiran penerbitan yang mencukupi dalam samannya seperti yang diperlukan di bawah undang-undang.

Katanya, kenyataan sokongan itu merupakan satu keperluan serta membentuk prasyarat yang dikehendaki di bawah Aturan 78 Kaedah 2 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 dalam writ saman fitnah.

Hanipa berkata, beliau menunggu kata putus daripada Mohamad untuk tindakan seterusnya.

"Saya sedang berbincang dengan Mohamad Sabu dan menunggu kata putus daripada beliau samaada nak buat rayuan atau nak fail semula," kata beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Keputusan hakim semalam dibuat ketika membenarkan permohonan yang difailkan oleh Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan penerbit akhbar tersebut untuk membatalkan saman dan pernyataan tuntutan Mohamad.

Utusan Melayu dan Aziz yang diwakili dua peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Datuk Mohd. Hafarizam Harun pada 27 Oktober lalu telah memfailkan permohonan membatalkan saman Mohamad terhadap mereka yang dinamakan sebagai pihak defendan.

Mohamad, 57, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu selaku plaintif memfailkan saman tersebut pada 14 September lalu.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, pihak defendan dengan niat jahat telah menerbitkan satu artikel pada 27 Ogos lalu dan dua bahan terbitan pada keesokan harinya yang berbaur fitnah.

Penerbitan ketiga-tiga artikel terbabit adalah berhubung isu serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Johor.

Mohamad mendakwa, penyiaran bahan-bahan tersebut telah secara tidak langsung menggambarkan bahawa beliau penyokong pengganas komunis, telah terkeluar daripada ajaran Islam kerana menyokong komunis dan mengiktiraf Muhammad Indera.-harakahdaily

Tiada ulasan: