Sabtu, 10 Disember 2011

Memo Abim kepada MCA: Tidak perlu cabar DAP debat hudud

Harakahdaily


(Pimpinan Abim menyerahkan memo bantahan kepada MCA)


KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berpendapat, Presiden MCA tidak wajar mencabar pemimpin DAP, Lim Guan Eng untuk berdebat isu hudud kerana tindakan itu hanya merendahkan hukum Allah itu.

Pendapat itu dikemukakan Abim dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soil Lek pada Jumaat 9 Disember 2011 di Wisma MCA.

Memorandum tersebut mengulangi gesaan awal Abim yang meminta Datuk Seri Chua Soi Lek mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada semua umat Islam di negara ini, di atas kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau ketika penganjuran Forum Hudud and its Implications on non-Muslims baru-baru ini.

Abim merasa kesal di atas kenyataan prejudis beliau yang merendahkan martabat perundangan hudud sekiranya dilaksanakan di negara ini.

Kenyataan tersebut berbunyi seperti berikut:

“MCA President Datuk Seri Dr Chua Soi Lek explained in a press conference that should hudud be implemented, the country’s foreign direct investment will surely be affected. This is because when the world perceives Malaysia to have failed in its protection of human rights, and that punishments are perceived as cruel and a violation of human rights, Malaysia’s standing in the world will drop as investors look elsewhere for businesses and even existing investors will pull out of the country,” Sumber: www.mca.org.my

Adalah jelas bahawa kenyataan beliau bersifat tohmahan, prejudis dan tidak langsung disandarkan kepada sebarang fakta atau perangkaan emprikal yang boleh menjustifikasi dakwaaan beliau, kata Setiausaha Agung Abim, Muhamad Raimi Ab Rahim.

Namun sehingga hari ini, kata Raimi, Soi Lek masih belum membuat sebarang permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam berhubung dengan kenyataan tersebut.

Justeru Abim terpanggil untuk sekali lagi menggesa beliau berbuat demikian dalam tempoh masa 48 jam menerusi saluran-saluran media di negara ini.

Antara kandungan penting dalam memorandum tersebut, Abim juga telah melampirkan kajian-kajian oleh ahli akademik berprofil antarabangsa yang menjelaskan konsep hukum hudud dan refutasi ilmiah terhadap persepsi negatif sekitar pelaksanaan hukum hudud yang diulas dari sudut prinsip keadilan undang-undang jenayah antarabangsa, hak asasi manusia dan nilai-nilai sejagat.

Sebagai contoh, Profesor M. Cherif Bassiouni yang dikenali sebagai "Father of International Criminal Law" telah mengatakan:

"The basic principles of criminal justice and the accused's rights are well articulated and developed in the various jurisprudential schools, and some are more liberal than others. They correspond to many international human rights standards”.

Berkenaan dengan kezaliman yang cuba dimomokkan dengan Hudud, artikel bertajuk The Penalty Of Hand Amputation For Theft In Islamic Justice, oleh Prof. Sam S. Souryal, Dennis W. Potts, dan Abdullah I. Alobied, ia telah membuat kesimpulan berikut:-

"The application of this penalty does not appear to be inconsistent with the principles of natural law or Judeo-Christian doctrine in their original versions".


Adalah diharapkan agar bahan ilmiah tersebut dimanfaatkan sebaik-sebaiknya oleh Datuk Seri Chua Soi Lek untuk meningkatkan kefahaman beliau terhadap hukum hudud dan perundangan Islam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan pada masa hadapan, katanya.

Memorandum tersebut juga menyatakan kekesalan Abim terhadap tindakan Datuk Seri Chua Soi Lek yang mencabar seorang lagi pemimpin (Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP) masyarakat bukan Islam di negara ini, untuk berdebat secara terbuka mengenai isu ini yang dinilai akan hanya mencetuskan kesinambungan polemik politik dan agama yang berpanjangan.

"Justeru, kami mendesak beliau menarik balik gesaan tersebut (mengadakan debat terbuka berkaitan isu hudud).

"Pada hemat kami, kenyataan serta tindakan beliau tersebut tidak lain tidak bukan hanya bertujuan untuk meraih populariti politik terutama sekali daripada masyarakat bukan Islam," tegasnya.

Tindakan-tindakan beliau ini secara langsung telah merendahkan martabat perundangan Hudud kepada isu politik dan sokongan pilihanraya semata-mata, sekaligus menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

Dalam konteks ini, Abim merujuk kajian bertajuk “Values Dreams Ideals Muslim Youth In Southeast Asia: Surveys in Indonesia and Malaysia (terbitan 2011),” yang dikemukakan Merdeka Centre, Goethe Institute dan Yayasan Fredrich Naumann baru-baru ke atas 1060 orang responden belia Islam.

Antara lain kajian tersebut merumuskan majoriti belia Islam positif dan bersetuju perundangan jenayah Islam diamalkan secara meluas di negara ini, meliputi pelaksanaan hukuman sebat untuk kesalahan minum arak (92.4%), hukuman mati untuk kesalahan membunuh atau Qisas (92.5%) dan 71.5% bersetuju untuk hukuman potong tangan bagi kesalahan mencuri.

Kajiselidik tersebut secara langsung memberi indikasi penerimaan positif di kalangan umat Islam di peringkat akar umbi terhadap pelaksanaan perundangan jenayah Islam.

Justeru, sebarang kenyataan serupa (sepertimana yang dikemukakan oleh Datuk Seri Chua Soi Lek) dinilai bertentangan dengan aspirasi umat Islam yang membentuk segmen political will terbesar di negara ini!

Abim sekali lagi mengulangi rumusan yang dicapai dalam ’Wacana Hudud: Sesuaikah dilaksanakan di Malaysia?’ anjuran mereka pada 2 Oktober 2011 bahawa undang-undang jenayah syariah tersebut sesuai dan wajar dilaksanakan di Malaysia.

Usaha ke arah merealisasikan undang-undang hudud boleh dilaksanakan melalui kehendak politik yang kuat dengan mengambil kita penafsiran dan pindaan semula terhadap sistem perundangan yang sedia ada.

Berdasarkan kepada kenyataan ini, Abim ingin mengatakan kesediaannya untuk bertemu dan mengadakan dialog akademik untuk menjelaskan sebarang kekeliruan serta persoalan berhubung dengan Hudud, terutama sekali dalam perkara-perkara yang menyentuh secara langsung kepentingan masyarakat bukan Islam.

Dalam hal ini, Abim menyorot rumusan yang dibuat oleh Asian-African Legal Consultative Organization (AALCO) berkenaan dengan hak asasi dalam Islam yang berbunyi seperti berikut:

"From the present report it is clear that Islamic criminal law has an inherent body of law for preventing crime and thereby protecting human rights and fundamental freedoms of the people. Human rights and fundamental freedoms ought to be protected are: right to life (punishing murder); rights of the child (preventing infanticide and abortion); protection of property (punishing theft); right to family (punishing adultery and sodomy), health and honor (prohibiting intoxication); right of orphans; right to personal reputation and dignity (punishing slander or scandalous allegation); right against corruption (prohibiting corruption); right to privacy (punishment for violation of privacy); right against defamation and spying; right to peace; equality and equal protection of laws; and justice and equity. These are the select human rights, which the Islamic criminal law ought to preserve and protect" (AALCO, page 46).”

"Berasaskan kepada kenyataan-kenyataan ini, adalah amat wajar untuk Datuk Seri Chua Soi Lek mengemukakan permohonan secara terbuka kepada semua umat Islam di negara ini.

Kami juga ingin mengulangi gesaan agar Datuk Seri Chua Soi Lek membatalkan hasrat untuk mengadakan debat terbuka (dengan Lim Guan Eng) untuk membincangkan isu ini," katanya.

Abim juga ingin mengulangi kesediaan mengadakan dialog tertutup secara ilmiah berkenaan dengan isu ini (dan isu-isu agama lain) dengan mana-mana pihak yang mewakili kepentingan masyarakat bukan Islam di negara ini.

Tiada ulasan: