Rabu, 7 Disember 2011

MB Pahang juga mahu wakil rakyat Umno buat ‘bai’ah’

MALAYSIA CHRONICLE



KUANTAN — Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mengalu-alukan cadangan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir agar semua wakil rakyat Umno dan pemimpin parti itu menandatangani surat ikrar bagi menyatakan sokongan dan kesetiaan untuk terus bersama Umno dalam apa jua keadaan.

Beliau berkata setiap cadangan untuk memperkukuhkan Umno perlu diteliti dan dikaji untuk kebaikan parti.

“Kita alu-alukan apa sahaja cara yang boleh kukuhkan parti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di sini hari ini.

Cadangan Mukhriz itu susulan ikrar taat setia perwakilan Umno Sabtu lalu, yang menyaksikan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai lafaz ikrar di hadapan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak demi kelangsungan perjuangan memartabatkan agama, mengangkat maruah bangsa dan mempertahankan kedaulatan tanah air yang tercinta.

Ikrar yang dilafazkan itu antaranya untuk merapatkan saf perjuangan, mengeratkan ukhuwah, menghapuskan sengketa, menghindari hasad dengki dan iri hati, meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi serta memberi sokongan padu yang tidak berbelah bagi kepada calon-calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding pada pilihan raya umum nanti.

Ditanya sama ada terdapat wakil rakyat di Pahang yang menawarkan diri untuk berundur sebagai calon pada pilihan raya umum ke-13, Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang berkata: “Tiada”.

“Kesediaan untuk bertanding atau tidak, saya rasa tidak perlu diuar-uarkan... terpulang pada Perdana Menteri untuk menilai siapa boleh, siapa tidak (menjadi calon),” katanya.

Mengenai kerusi Parlimen Kuantan dan Indera Mahkota yang kini milik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Adnan (gambar) berkata Barisan Nasional (BN) akan berusaha memenangi kerusi itu walaupun berkemungkinan menghadapi persaingan sengit berikutan isu pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi oleh syarikat Lynas Malaysia Sdn Bhd di Gebeng di sini.-TheMalaysianInsider

Tiada ulasan: