Khamis, 29 Disember 2011

KDN panggil Nanyang berhubung logo kalimah 'Allah'

MALAYSIA KINI
Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memanggil ketua pengarang Nanyang Siangpau hari ini berhubung penggunaan kalimah 'Allah' dalam bentuk logo dalam dua artikel yang disiarkan oleh akhbar harian berkenaan.

Dalam satu kenyataan lewat petang ini, Timbalan Ketua Setiausaha (keselamatan) KDN, Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi berkata, pemaparan kalimah Allah tersebut bertentangan dengan Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

"Pihak Nanyang Siangpau diberi surat tunjuk sebab atas tindakan memuatkan kalimah Allah ini di dalam akhbar tersebut.

"Ini adalah kerana ianya menyentuh sensitiviti umat Islam dan boleh mengakibatkan ketegangan dan kekeliruan di kalangan masyarakat umum di negara ini," kata Rahim.

Dua artikel yang memuatkan kalimah Allah dalam bentuk logo itu bertajuk 'Hukum Hudud Jadi Isu Kontroversi' di muka surat A8 keluaran 27 Disember 2011, dan artikel bertajuk 'Hukum Hudud Membimbangkan Kaum Bukan Islam 'di muka surat A8 keluaran 28 Disember 2011.

"Kementerian Dalam Negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana akhbar yang melakukan kesalahan ini pada masa hadapan berdasarkan peruntukan di dalam akta tersebut," tegas Rahim.

Tiada ulasan: