Rabu, 7 Disember 2011

Himpun: Pemilihan negeri tak motif politik

THE MALAYSIAN INSIDER

IPOH ― Sekretariat Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) menjangkakan lebih 10,000 orang akan menghadiri perhimpunan kedua yang dijadualkan berlangsung di Stadium Perak pada 17 Disember ini.

Pengerusi bersama Himpun Mohd Azmi Abdul Hamid berkata sekretariat memilih Perak sebagai negeri kedua dalam siri Jelajah Himpun kerana jawatankuasa dari negeri itu sudah bersedia menggalas cabaran tersebut.

“Pemilihan negeri tidak bermotifkan politik, selepas ini kita akan ke Negeri Sembilan diikuti Johor kerana jawatankuasa negeri ini juga telah bersedia.

“Bagaimanapun di Perak, kita mengurangkan jumlah penceramah kepada lima atau enam orang berbanding 14 penceramah di Shah Alam dan mengekalkan slot lain seperti nasyid dan selawat,” katanya dipetik Bernama Online.

Mohd Azmi berkata bagi menjamin langkah keselamatan pada tahap terbaik pihaknya telah berbincang dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang menyelia stadium berkenaan dan pihak polis.

“Himpun Ipoh mendapat kebenaran pihak polis. Pemilihan stadium ini adalah kerana kita yakin akan lebih memudahkan dalam soal penjagaan dan mengawal keselamatan orang awam serta kemudahan tempat letak kereta yang mencukupi.

“Selepas Himpun Shah Alam kita telahpun membuat post mortem dan mengenal pasti masalah dan implikasi yang berlaku bagi memastikan perhimpunan secara aman dapat diadakan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya kini sedang giat mengumpul seberapa ramai masyarakat Islam daripada pelbagai latar belakang atas semangat persaudaraan demi mempertahankan akidah yang satu.

“Kita telah menggerakkan badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negeri ini untuk menyebarkan maklumat mengenai perhimpunan ini. Kehadiran parti-parti politik termasuk seluruh kepimpinan dan ahlinya adalah amat dialu-alukan,” katanya.

Kira-kira 4,000 orang menyertai perhimpuan pertama yang diadakan di Shah Alam pada Oktober lepas termasuk wakil beberapa badan bukan kerajan (NGO) dan turut dihadiri Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Tiada ulasan: