Sabtu, 17 Disember 2011

ETP: Kerajaan bohong tentang negara pendapatan tinggi – Anwar

Oleh: Ahmad Fadli

KUALA LUMPUR : Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kerajaan Umno-BN memanipulasi data bagi mengelirukan rakyat serta memberikan gambaran yang salah tentang unjuran ekonomi Malaysia.


Anwar berkata demikian pada majlis makan malam ucaptama “Debunking ETP: Widening Income Gap” di Hotel Westin malam tadi.

Majlis itu dihadiri kira-kira 150 orang terdiri daripada wakil-wakil kedutaan, pakar ekonomi, pengurus dana, ahli Parlimen dan wartawan.

Menurut Anwar, janji kerajaan bahawa Malaysia akan menuju negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 adalah satu pembohongan, berdasarkan unjuran Program Transformasi Ekonomi (ETP).

“ETP mendakwa ‘ia berupaya mengurangkan pekerja berpendapatan rendah dan meningkatkan golongan berpendapatan sederhana dan tinggi pada tahun 2020′.

“Saya persoalkan premis yang gaji pekerja akan berkembang pada kadar 3.6 peratus antara tahun 2010 dan 2020.

“Sumber di dalam dan luar kerajaan menunjukkan corak pertumbuhan perlahan dalam gaji sebenar,” kata Anwar.

Anwar berkata, berdasarkan Kementerian Sumber Manusia, “kadar pertumbuhan gaji di Malaysia menyaksikan peningkatan 2.6 peratus sejak 10 tahun lalu dan kos hidup juga meningkat melebihi kadar kenaikan gaji”.

“Maka jelas, kadar pertumbuhan yang digunakan ETP pada kadar 3.6 peratus amat meragukan,” kata Anwar.

Pembohongan kedua kerajaan BN dalam ETP adalah unjuran inflasi sebanyak 2.8 peratus sehingga tahun 2020.

“Inflasi purata di antara tahun 2001 dan 2005 adalah 4.8 peratus, mencerminkan kejutan harga tenaga pada tahun 2003 yang menyaksikan harga minyak mentah melonjak melebihi USD30 setong.

“Inflasi purata di antara tahun 2005 dan 2009 pula adalah lebih tinggi pada kadar 6.6 peratus.

“Jadi kita perlu persoalkan kebijaksanaan dan keikhlasan mereka menggunakan unjuran inflasi yang terlebih optimistik iaitu pada 2.8 peratus untuk 10 tahun akan datang apabila tiada sebarang petunjuk ekonomi, sosial atau politik yang memberikan petanda kita menuju ke arah itu,” kata Anwar.

Program Transformasi Ekonomi (ETP) adalah inisiatif kerajaan BN untuk kononnya menukar Malaysia kepada negara berpendapatan tinggi menjelang akhir tahun 2020. Ia diuruskan Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu).

Dilancarkan pada September 2011, ETP menyasarkan pembiayaan sektor swasta sehingga 60 peratus.

Namun, sehingga Ogos 2011, sebanyak 77 peratus daripada RM173 bilion pelaburan datangnya daripada syarikat berkaitan kerajaan.

Tiada ulasan: