Sabtu, 17 Disember 2011

Cuepacs buat perhimpunan jelas pendirian bantah SBPA Ahad ini


KUALA LUMPUR — Cuepacs yang mengambil pendirian membantah pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) semalam akan mengadakan perhimpunan besar-besaran di ibu negara Ahad ini untuk membuat penerangan kepada ahlinya.

Perhimpunan berkenaan pendirian membantah pelaksanaan SBPA diumumkan pada akhir mesyuarat kongres Cuepacs di Perlis tengah hari tadi.

Timbalan Presiden Cuepacs Azih Muda berkata, langkah itu diputuskan untuk menerangkan alasan pendirian badan induk kesatuan sekerja awam tersebut menolak pelaksanaan SBPA.

“Kami menjangkakan sekitar 2,000 orang akan hadir, pemimpin dan ahli jawatankuasa kesatuan gabungan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

“Kalau boleh kami mengharapkan kehadiran luar jangkaan, lebih 2,000 orang yang kami jangkakan,” katanya lagi.

Perhimpunan akan diadakan di dewan CIDB, Jalan Chan Sow Lin.

Semalam, Cuepacs berkata pihaknya mengambil pendirian membantah pelaksanaan opsyen sistem SBPA dan menggesa kakitangan awam jangan menandatangani borang penerimaan skim gaji baru itu sehingga pihaknya mengadakan pertemuan dengan perdana menteri minggu depan.

Azih berkata pihaknya bukan menolak SBPA tetapi membantah pelaksanan opsyen kerana tidak cukup maklumat dan kurang penjelasan khususnya perubahan gaji.

“Kami memutuskan untuk membantah pelaksanaan opsyen SBPA, kita mahu jumpa perdana menteri pada 19 Disember ini,” kata beliau.

Tiada ulasan: