Sabtu, 24 Disember 2011

Boo Chang nafi keluar PKR kerana tidak dicalonkan

Bekas ketua PKR Bukit Gelugor, Lim Boo Chang menyangkal dakwaan bahawa beliau meninggalkan parti itu kerana marah tidak diberi kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

lim boo changLim, yang juga ahli majlis tempatan Pulau Pinang, menafikan beliau
pernah meminta kerusi daripada kepimpinan parti, apatah lagi meminta jaminan bertulis mengenainya.

Beliau juga dengan tegas menafikan dakwaan bahawa beliau tergesa-gesa meninggalkan parti itu Rabu lalu ekoran kegagalan kepimpinan parti untuk memberi jaminan yang beliau akan bertanding dalam pilihan raya nanti.

"Saya tidak pernah meminta - secara lisan atau bertulis - jaminan bertulis dari mana-mana pemimpin parti untuk bertanding dalam pilihan raya," kata Lim (kanan) kepada Malaysiakini.

"Saya meninggalkan PKR kerana prinsip. Parti tersebut tidak mampu mengawal sama ada DAP di Pulau Pinang atau PAS di peringkat nasional," katanya.

Lim, seorang peguam, berkata beliau sedar terdapat gerakan dan usaha bersepadu di kalangan bekas rakan seperjuangannya untuk memburuk-burukkan reputasinya selepas meninggalkan PKR.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terus mencemarkan imejnya.

Lim merujuk kepada laporan Malaysiakini semalam yang bertajuk "Boo Chang failed to secure a seat' from PKR".

Laporan itu memetik ketua penerangan PKR Bukit Gelugor Dr Gurdial Singh sebagai berkata, Lim mungkin meninggalkan parti itu kerana gagal mendapatkan kerusi.

Gurdial dipetik sebagai berkata Boo Chang mahukan jaminan bertulis mengenai pencalonannya tetapi kerana gagal mendapatkannya, beliau meninggalkan PKR, yang disertainya selama kurang daripada tiga tahun.

Gurdial bagaimanapun kemudiannya menjelaskan kenyataannya itu adalah berdasarkan spekulasi dan sembang "kedai kopi" di kalangan ahli dan orang ramai, dan beliau (Gurdial) tidak pasti sama ada tindakan Boo Chang meninggalkan PKR, ada kaitan dengan pencalonannya.

Tiada ulasan: