Sabtu, 31 Disember 2011

Bicara kes saman RM30j terhadap LGE 2 April depan

MALAYSIAKINI

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 2 hingga 6 April depan untuk perbicaraan kes saman malu RM30 juta yang difailkan pengerusi badan perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman terhadap Ketua Menteri Lim Guan Eng berhubung kenyataannya yang didakwa mengaitkan Umno dengan demonstrasi dan cubaan membakar ibu pejabat DAP di Pulau Pinang.

Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakili Zainal Abidin dan peguam Latheefa Koya yang mewakili defendan.

Zainal Abidin, 51, memfailkan saman itu pada 24 Oktober lepas. Selain Lim yang juga setiausaha DAP, turut dinamakan sebagai defendan ialah PKR selaku pemilik laman berita elektronik Keadilan Daily dan akhbar Suara Keadilan, Segmen Fleksibel Sdn Bhd yang merupakan syarikat penerbitan Keadilan Daily dan Suara Keadilan, dan ketua penyuntingnya, Fazallah Pit.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Zainal Abidin mendakwa pada 3 Julai lepas, Lim telah menerbitkan suatu kenyataan akhbar melalui e-mel yang kemudiannya disiarkan di Keadilan Daily pada 3 Julai dan di akhbar Suara Keadilan pada 5 Julai lepas.

Zainal Abidin berkata kenyataan Lim itu antara lain membawa maksud kononnya beliau terlibat dalam kegiatan mengguling Ketua Menteri Pulau Pinang melalui cara yang salah serta menyembunyikan penglibatannya dalam satu demonstrasi ganas yang berlaku di Komtar dan Jambatan Pulau Pinang pada 1 Julai lepas.

Beliau berkata pada 18 Ogos lepas, Lim telah mengeluarkan satu lagi kenyataan menyinggung di hadapan sekumpulan wartawan yang telah disiarkan di laman berita elektronik, The Malaysian Insider, pada hari yang sama.

Zainal Abidin berkata antara lain kenyataan itu membawa maksud kononnya beliau telah merancang untuk mensabotaj premis parti DAP di Pulau Pinang, dan kononnya beliau terlibat dalam mencetuskan cubaan membakar premis itu.

Beliau berkata akibat kenyataan itu, ia telah merosakkan reputasinya dan menjejaskan kepercayaan parti induk terhadapnya.

Zainal Abidin menuntut gantirugi RM30 juta, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah dan suatu injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada terus mengeluarkan atau menyiarkan kenyataan fitnah itu- Bernama

Tiada ulasan: