Ahad, 6 November 2011

Zaid: Kita tak rebut kerusi PM tapi mahu jadi parti pemerintah

THE MALAYSIAN INSIDER

KOTA BARU – Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) akan meletakkan banyak calon untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 kerana ia mahu menjadi parti pemerintah dan bukan parti pengacau seperti yang dilabel oleh pihak tertentu, kata Presidennya Datuk Zaid Ibrahim.

Sambil berkata Kita merupakan parti politik alternatif terbaik untuk rakyat kerana ia memperjuangkan kesejahteraan insan di negara ini, beliau berkata parti itu tetap dengan hasrat untuk menjadi parti pemerintah dan bukan parti pengacau mahupun pemecah undi.

“Kita bermatlamat menjadi parti pemerintah dan bukannya parti untuk merebut jawatan Perdana Menteri. Sebab itu kita mahu meletakkan calon sebanyak mungkin di kawasan yang difikirkan sesuai bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum nanti,” katanya dipetik Bernama Online.

Beliau diminta mengulas kenyataan beberapa pemimpin politik di Sabah dan Kedah yang menyifatkan Kita sebagai parti pengacau apabila berhasrat bertanding banyak kerusi dalam pilihan raya akan datang.

“Kita bukan parti main-main atau parti untuk memecah undi rakyat. Malah parti ini memberi peluang rakyat buat pilihan, sebab itu kita mahu bertanding di semua kawasan yang mampu dan difikirkan sesuai dan sekaligus menjadi parti pemerintah.”

Tiada ulasan: