Jumaat, 18 November 2011

Ugutan politik aibkan diri, keluarga

Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir memberi keterangan kira-kira sejam di Balai Polis Kepong kerana dituduh memalsukan maklumat.


KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dirinya memalsukan maklumat semasa memberi keterangan kepada polis berhubung skandal video seks pada 22 Mac lalu.

Beliau sebaliknya mendakwa tuduhan itu hanyalah satu ugutan politik dalam percubaan untuk mengaibkan diri dan keluarganya lagi, selain mahu menghalangnya dari terus melakukan tugas sebagai Ketua Pembangkang yang sah.

Anwar hari ini hadir memberi keterangan kira-kira sejam di Balai Polis Kepong, ditemani isteri yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta diwakili peguam R Sivarasa, N Surendran, Latheefa Koya, dan Fadiah Nadwa Fikri.

Beliau sebelum ini diminta hadir untuk memberi keterangan berhubung aduan dalam laporan polis yang dibuat oleh pegawai penyiasat kes Datuk T Timbalan Supritendan M Shanmugam mendakwa Anwar telah memberikan maklumat palsu semasa hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi Mac lalu.

Laporan tu disiasat dibawah Akta 182 Kanun Keseksaan iaitu tuduhan memberikan maklumat palsu kepada kakitangan kerajaan dengan niat untuk mengganggu atau mencederakan, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama enam bulan sehingga 20 tahun.

“Ini soal khianat untuk mengaibkan saya dan keluarga. Penjenayah lain yang curi lembu tiada siasatan, ratus juta hilang tiada siasatan.

Polis jadi perkakas

“Polis jadi perkakas orang politik atasan untuk menyerang kami di barisan pembangkang. Kita terpaksa menentang keras dan lawan mereka dalam pilihan raya..ini cara kotor jahat Umno, kita akan lawan,” katanya kepada pemberita di luar perkarangan balai polis selepas selesai memberikan keterangan.

Beliau berkata dirinya turut dimaklumkan polis sudah mengesahkan kertas siasatan mengenai kes video seks ini juga sudah dirujuk kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, namun diserahkan kembali kepada polis untuk siasatan lanjut kerana mendakwa wujudnya maklumat palsu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bagaimanapun menyelar campur tangan Gani dalam kes ini berikutan penglibatannya memanipulasi kes liwat pada tahun 1998, seperti yang didakwa bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mat Zain.

Sementara itu, Sivarasa ketika ditanya secara spesifik bahagian mana dalam keterangan Anwar yang didakwa Shanmugam sebagai palsu, beliau berkata pihaknya tidak tahu-menahu.

Tiada ulasan: