Jumaat, 4 November 2011

Tiga MP BN gesa Putrajaya tak rayu, mansuh Seksyen 15 AUKU

KLPOS. COM


KUALA LUMPUR— Tiga pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk seorang timbalan menteri menggesa Putrajaya tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Isnin lalu yang memutuskan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa yang sama mereka menggesa kerajaan memansuhkan Seksyen 15 AUKU dimansuhkan selaras dengan program transformasi politik dibawa Datuk Seri Najib Razak.

Kelmarin, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan Mahkamah Rayuan berhubung peruntukan itu akan dibawa ke Kabinet, sebelum memutuskan sama ada perlu atau tidak kes itu dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

Kata beliau, perbincangan teliti akan dibuat di peringkat kementerian, sebelum ia dibawa ke mesyuarat Kabinet, secepat mungkin.

Hari ini, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Naib Presiden MCA Gan Peng Siew berpendirian bahawa Seksyen 15 AUKU perlu dimansuhkan selaras dengan program transformasi politik.

Mereka juga menegaskan dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu peruntukan 15(5)(a) sudah tidak lagi wujud dan kini mahasiswa bebas untuk berpolitik.

“Boleh, dengan sendirinya,” kata Saifuddin pada sidang media di Mines Resort City, Seri Kembangan dekat sini hari ini.

Khairy menambah: “Dengan keputusan mahkamah itu, ia dah jadi lapuk.”

Sementara itu Gan berkata, “mahkamah sudah buat keputusan, Seksyen 15(5)(a) sudah tidak wujud. Mahasiswa boleh terlibat dalam politik.”

Saifuddin menambah keputusan sama ada mahu membuat rayuan kemungkinan akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet esok, namun beliau bersama Khairy dan Gan berharap Putrajaya tidak akan membuat rayuan.

“Keputusan nak buat rayuan atau tidak akan dibuat dalam Kabinet esok, mungkin perkara ini akan ditimbulkan. Pertimbangan yang ada sama ada mahu membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan atau tidak.

“Kalau buat rayuan dan kemudian mahkamah tolak dari segi moral kita sudah kalah, jadi tidak perlu buat rayuan. Kalau tidak buat rayuan kita perlu teruskan perbincangan untuk meminda AUKU,” katanya.

sumber Malaysianinsider

Tiada ulasan: