Jumaat, 11 November 2011

Selangor sahut cabaran Noh

Oleh : RUWAIDA MD ZAIN

Dr Yaakob Sapari

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri bersedia menyahut cabaran Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar untuk menguruskan ladang satelit dan keseluruhan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) di Gemas, Negeri Sembilan.

Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari berkata, beliau sudahpun menghubungi Persatuan Penternak Negeri Selangor serta penternak di Negeri Sembilan dan Melaka untuk mengendalikan ladang tersebut.

Menurutnya, beliau akan membuktikan mereka berjaya dengan memberikan projek tersebut kepada penternak yang sepatutnya, bukan kepada mereka yang tidak tahu bagaimana untuk mengusahakan ladang ternakan.

“Berikan peruntukan itu untuk kami mengendalikan, tidak perlu gunakan syarikat swasta untuk menguruskannya. Bagi peruntukan itu pada Jabatan Veterinar, bila-bila masa 300 penternak di Selangor, 200 di Negeri Sembilan dan 100 di Melaka bersedia untuk masuk.

“Jabatan Veterinar Negeri Selangor bersedia membantu kita dan saya akan menulis surat kepada Menteri untuk memberikan ruang kepada saya dan penternak di Selangor, kita tawarkan juga penternak di Negeri Sembilan dan Melaka untuk masuk ke kawasan ini,” katanya.

Yaakob berkata, sekiranya Noh ingin menyelesaikan masalah tersebut, beliau perlu menyerahkan kepada penternak yang layak malah ia dapat mengurangkan sebahagian import susu, lembu tenusu dan daging lembu dari luar negara.

Dalam pada itu, beliau kesal kerana Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dikendalikan seorang menteri yang tidak mempunyai pengetahuan tentang pertanian.

Tiada ulasan: