Ahad, 6 November 2011

Seksualiti Merdeka: Polis ambil kenyataan Ambiga Selasa ini

TERKINI

KUALA LUMPUR – Polis telah memanggil bekas presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan untuk disoal siasat berhubung sokongan beliau ke atas program Seksualiti Merdeka, yang telah pun diharamkan berkuat kuasa kelmarin.

“Saya boleh mengesahkan bahawa Datuk Ambiga telah diminta datang ke (ibu pejabat polis) Dang Wangi pada Selasa ini untuk disoal siasat, berkaitan dengan Seksualiti Merdeka,” kata ahli jawatankuasa Bersih 2.0 Andrew Khoo kepada The Malaysian Insider hari ini.

Ambiga, pengerusi Bersih 2.0 yang diharamkan beberapa hari sebelum ia mengadakan perhimpunannya 9 Julai lalu, telah bersetuju untuk melancarkan Seksualiti Merdeka Selasa ini atas kapasiti peribadinya.

Dalam satu kenyata semalam, Ambiga menafikan beliau merupakan penganjur program Seksualiti Merdeka sebaliknya menekankan, beliau hanya merasmikan program itu atas kapasiti sebagai seorang rakyat biasa, bukannya pengerusi Bersih 2.0.

“Untuk rekod, saya bukan penganjur program ini. Saya dijemput untuk merasmikannya pada 9 November 2011, yang mana saya bersetuju untuk melakukan atas kapasiti peribadi saya,” kata beliau.

Ambiga berkata Seksualiti Merdeka bertujuan memberi ruang komuniti LGBT yang dipinggirkan untuk mengetengahkan diskriminasi mereka alami setiap hari dan bukannya menggalakkan gejala homoseksual.

Kata Ambiga, sementara beliau faham akan tentangan agama terhadap homoseksualiti, ia tidak bermakna rakyat Malaysia tidak boleh menunjukkan kefahaman dan sensitiviti kepada komuniti yang mengalami tekanan dan penganiayaan mental dan fizikal.

Ambiga menambah pihak-pihak penentang yang mempunyai pandangan mengenai terhadap homoseksualiti berhak untuk memberikan pandangan mereka tetapi tiada anggota masyarakat yang harus hidup dalam ketakutan disebabkan pihak berkenaan.

“Saya percaya bahawa setiap manusia tidak sempurna, kita harus menunjukkan peri kemanusiaan dan bukannya keangkuhan,” kata beliau sambil menambah “kita bertanggungjawab untuk memahami keperitan mereka yang mengalami kesukaran, tidak kisah siapa mereka.”

Kelmarin, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata pihkanya mengharamkan sebarang majlis yang dilakukan mana-mana penganjur berkaitan dengan program Seksualiti Merdeka demi ketenteraman awam.

Kata beliau, polis telah mengenal pasti dan akan memanggil kesemua mereka yang terlibat dalam penganjuran program itu termasuk Ambiga untuk dirakam keterangan mereka.

Merdeka Seksualiti 2011, program yang bermula Selasa lalu dan sepatutnya berlarutan sehingga 13 November ini, antara lain mendesak hak sama rata untuk golongan homoseksual dan transeksual seperti gay, lesbian, biseksual, interseks serta transgender.

Khalid berkata dua laporan polis telah diterima setakat ini yang meminta polis mengambil tindakan terhadap penganjur kerana cuba menganjurkan program yang menganggu gugat ketenteraman awam.

Tiada ulasan: