Sabtu, 12 November 2011

PSC: Syor mungkin dilaksana sebelum PRU-13

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR ― Ahli Parlimen Hulu Selangor P. Kamalanathan tidak menolak kemungkinan bahawa syor-syor atau cadangan yang dikemukakan pihak tertentu kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen (PSC) dapat dilaksanakan sebelum pilihan raya umum ke-13.

Kamalanathan yang juga salah seorang anggota PSC berkata, oleh itu sebarang tuduhan pihak tertentu kononnya proses penambahbaikan proses pilihan raya tidak akan dijalankan sebelum PRU-13 adalah dangkal dan tidak berasas sama sekali.

Katanya masa untuk melaksanakannya masih panjang kerana penggal pemerintahan kerajaan sedia ada masih berbaki dua tahun lagi iaitu sehingga 2013.

“Sehubungan itu, apa yang perlu dipercepatkan? Biarlah ahli-ahli PSC ini menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik-baiknya.

“Soal sama ada sempat atau tidak pembaharuan dilakukan ke atas proses pilihan raya, jawapan saya kepada mereka ialah... mengapa tidak?” kata beliau dipetik Bernama Online.

Dalam pada itu, Kamalanathan berkata syor beliau kepada PSC agar sebuah kerajaan sementara diwujudkan selepas pembubaran Parlimen adalah berbeza dengan konsep kerajaan sementara yang difahami umum.

Kata beliau, konsep kerajaan sementara yang dicadangkannya lebih menjurus kepada kerajaan sedia ada untuk menjaga hal ehwal pentadbiran negara untuk jangka pendek sahaja.

Sungguhpun tidak ada keperluan mendesak untuk mewujudkan kerajaan sementara buat masa ini, Kamalanathan bagaimanapun berpendapat, persiapan perlu dilakukan sekiranya wujud keperluan dan permintaan daripada rakyat kelak.

“Apabila kita sudah benar-benar bersedia untuk melaksanakan idea itu, maka satu mekanisme perlu disediakan,” katanya.

Tiada ulasan: