Rabu, 9 November 2011

PPSMI: M’sia kehilangan arah?

Memandangkan pilihan raya umum sudah berada di ambang pintu, isu PPSMI ini sudah menjadi seperti umpan politik.



Berikutan pengumuman Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membasmikan pengajaran pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Ingggeris (PPSMI) mulai 2012, Malaysia sekali lagi dilanda kontroversi yang menjangkaui batas bangsa dan fahaman politik.

Kontroversi timbul akibat terlalu banyak idea dan isu ini terapung tanpa fokus yang betul. Bagi saya, kedua-dua pendokong dan penentang PPSMI bersalah dari sudut lantangnya mereka bersuara.

Pendokong PPSMI melakukan kesilapan dengan berhujah bahawa pelaksanaan PPSMI boleh membuat pelajar mahir dalam bahasa Inggeris. Mereka berhujah bahawa kunci untuk mencapai kemahiran dalam bahasa Inggeris memerlukan pengajaran bahasa itu dengan betul dan bukannya melalui mempelajari subjek-subjek lain dengan menggunakan bahasa Inggeris.

Golongan yang menentang juga silap dengan mendakwa PPSMI akan melemahkan penguasaan bahasa kebangsaan atau melukakan maruah negara.

Ketika mana pandangan mereka yang menyokong PPSMI didapati lebih bersifat imaginasi dari kenyataannya, sepertimana boleh disahkan oleh ahli-ahli akademik yang berpengalaman, pihak yang menentang juga memperlihatkan rasa rendah diri, lebih berbanding semangat kebangsaan.

Bertitik tolak dari sini, adakah kita perlu meneruskan PPSMI atau memansuhkan sahaja? Untuk menjawab soalan ini, lebih elok kita imbas kembali beberapa tahun yang lalu dan mengesan bagaimana idea ini bermula.

Apabila mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mula menerima PPSMI pada 2002, ini adalah berasaskan pengiktirafan bahawa tahap penguasaan bahasa Inggeris adalah sangat lemah.

Negara begitu terdesak kepada keperluan agar rakyatnya menguasai bahasa Inggeris dengan baik supaya tidak terus menerus ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain.

Hasrat Mahathir ialah untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris adalah betul tetapi jalan yang dipilihnya adalah salah.

Namun pada hakikatnya kita tidak mempertikaikan langsung betapa bahasa Inggeris adalah sangat penting dan terdapat keperluan yang mendesak untuk menguasainya.

Kegagalan Mahathir

Tetapi untuk memulakan pengajaran subjek-subjek dalam bahasa Inggeris pada tahun berikutnya (2003) tanpa memastikan jumlah keberadaan guru-guru yang mahir dalam bahasa Inggeris yang mencukupi adalah satu kesilapan.

Kesannya terdapat kemerosotan dalam standard pelajaran sains dan matematik tanpa peningkatan kemahiran dalam bahasa Inggeris.

Kegagalan program Mahathir disahkan oleh Muhyiddin yang menyatakan bahawa hanya sebilangan kecil sahaja dari sekolah-sekolah yang menerima pakai PPSMI manakala selebihnya memansuhkannya berikutan kekurangan guru yang mahir dalam bahasa Inggeris.

Mahathir sepatutnya menumpukan perhatian kepada pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri sebagai langkah pertama dan lupakan PPSMI buat sementara waktu.

Kita harus bermula dengan guru-guru kita. Memandangkan terdapat jumlah guru yang ramai untuk meningkatkan pengetahuan dan penguasaan mereka dalam bahasa Inggeris, kita harus menerima pakai strategi melatih sejumlah besar guru-guru bahasa Inggeris yang menjadi kumpulan teras. Guru-guru ini kemudiannya melatih guru-guru lain yang diperlu ditingkatkan kemahirannya.

Untuk melatih kumpulan teras ini, kita perlu kepada guru-guru dari luar negeri disamping menambah pengambilan guru bahasa Inggeris tempatan, termasuk mereka yang sudah bersara.

Apabila kita sudah melatih guru-guru yang mahir dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah, baru kita boleh menimbangkan untuk memperkenalkan PPSMI. Atas sebab ini, program ini seharusnya diperkenalkan secara berperingkat-peringkat, pada kadar keberadaan guru-guru yang layak.

Walaupun PPSMI bukan kaedah terbaik untuk mempelajari bahasa Inggeris, namun langkah ini boleh memberi faedah penambaikan dalam bahasa Inggeris termasuk sedia terjalin hubungan dengan dunia sains dan teknologi.

Penentang PPSMI sering mengambil contoh Rusia dan China sebagai bukti bahawa seseorang itu boleh mengekalkan bahasa kebangsaan dan pada masa yang sama, boleh mencapai kemajuan yang tinggi dalam sains dan teknologi.

Tetapi mereka lupa bahawa Rusia dan China adalah dua negara besar dengan memiliki ‘talent’ dan biasiswa yang banyak dalam sains dan teknologi.

Buku teks

Sementara Malaysia pula menghadapi kekurangan teknologi dalam negeri, kerap kali terpaksa mengimport sumber pengetahuan luar yang diperolehi kebanyakannya melalui bahasa Inggeris.

Pada hakikatnya, buku teks dalam bahasa Inggeris sudah pun digunakan dengan begitu meluas di negara ini. Oleh yang demikian maka kenapa kita tidak mula melaksanakannya kepada anak-anak pada peringkat usia yang muda, seperti di peringkat sekolah menengah, atau lebih awal, jika pra syaratnya dipenuhi?

Jika kerana sebab itu maka keputusan Muhyiddin untuk memansuhkan PPSMI adalah tidak wajar. Keputusan beliau untuk menghapuskan PPSMI sepenuhnya pada 2016 untuk sekolah rendah dan tahun 2061 untuk sekolah menengah dengan sebilangan kecil sekolah-sekolah masih menerima pakai PPSMI tidak dapat dipastikan dengan jelas apa sebenarnya matlamat beliau.

Satu-satunya keputusan yang boleh diterima untuk memansuhkan PPSMI adalah disebabkan oleh kekurangan tenaga pengajar yang berkemahiran dan bukan kerana keperluan untuk menggunakan bahasa Inggeris untuk mempelajari dua subjek lain.

Jika beberapa sekolah telah mengharungi keperitan selama sembilan tahun (2003 hingga 2011) dengan sistem baru PPSMI, ini bermakna sekolah-sekolah ini sudah dapat mengatasi masalah pelaksanaan sistem baru ini. Ini dianggap sebagai satu kebaikan untuk para pelajar.

Menimbang situasi ini maka adakah wajar kita kembali kepada sistem lama sekarang ini? Kepentingan siapakah yang difikirkan oleh Muhyiddin; para pelajarkah atau nasib masa depan karier politiknya?

Malahan kerajaan kita tidak seharusnya berpuas hati dengan apa telah kita capai dengan sekolah-sekolah yang berjaya melaksanakan PPSMI dengan baik.

Kita harus membawa kejayaan ini kepada sekolah-sekolah lain dengan menggunakan strategi yang telah saya gariskan di atas iaitu masalah yang serius untuk melatih sekumpulan besar guru-guru bahasa Inggeris untuk mengajar guru-guru yang lain dengan kadar yang segera.

Muhyiddin menyatakan bahawa apabila PPSMI dimansuhkan nanti, beliau akan meneruskan satu program yang serius untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris.

Beliau akan berusaha membawa seramai 300 guru bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat untuk membantu sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan.

Umpan politik

Akhirnya beliau membuat kesilapan yang sama seperti Mahathir, yang gagal melihat realiti. Kita mempunyai ribuan sekolah yang kesemuanya lemah dalam bahasa Inggeris.

Makanya ke sekolah mana kita harus menghantar 300 guru ini? Bukankah mereka ini ibarat setitik air di lautan? Bagaimana cara menempatkan guru-guru dari Amerika Syarikat ini bagi membantu meningkatkan tahap bahasa Inggeris dengan berkesan?

Memandangkan pilihan raya umum sudah berada di ambang pintu dan kedua-dua kem, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat sedang berusaha keras untuk merebut sokongan, saya dapati isu PPSMI ini sudah menjadi seperti umpan politik.

Ahli-ahli politik mengeluarkan kenyataan bukan untuk kepentingan para pelajar tetapi kuasa politiklah yang menjadi sasaran. Sebarang pertimbangan berhubung isu PPSMI dikira berdasarkan untung rugi undi pilihan raya.

Memang diakui pada ketika ini merupakan saat yang genting buat ahli-ahli politik tetapi inilah masanya untuk buat mereka menonjolkan sifat-sifat mereka sebagai negarawan yang ulung.

Mereka yang bertutur secara ikhlas demi kebajikan dan kebaikan anak-anak kita dan mampu menyakinkan rakyat majoriti akan muncul sebagai juara untuk dirinya, partinya dan negara.

Tiada ulasan: