Ahad, 6 November 2011

PMUKM musykil Seksualiti Merdeka hanya diharam tahun ini

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) musykil dengan tindakan pihak pemerintah dan pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tiba-tiba sahaja hendak bertindak mengharamkan festival Seksualiti Merdeka sedangkan ia dianjurkan sejak 2008.

Kelmarin, PDRM mengharamkan sebarang majlis yang dilakukan mana-mana penganjur berkaitan dengan program Seksualiti Merdeka demi ketenteraman awam.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, polis telah mengenal pasti dan akan memanggil kesemua mereka yang terlibat dalam penganjuran program itu termasuk Datuk S. Ambiga untuk dirakam keterangan mereka.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, PMUKM berkata, sehingga ke hari ini pelbagai pihak telah tampil untuk membuat laporan polis berkenaan penganjuran program tersebut.

“Namun di sebalik perihal ia dihebohkan hari ini, masih ramai tidak mengetahui bahawa penganjuran Seksualiti Merdeka telah bermula sejak 2008 lagi.

“Malahan, salah seorang anak tokoh pemimpin negara juga mengaku merasmikan program tersebut beberapa tahun yang lalu, selain Ambiga Sreenevasan tahun ini,” katanya lagi.

Pendirian seumpama juga dilahirkan oleh Dewan Muslimat PAS semalam.

Kenyataan itu juga menekankan bahawa program sebegini menjadi asbab kepada beberapa pihak tegas melahirkan kegusaran apabila konsert artis gay Elton John, yang akan berlangsung 22 November ini, walaupun sedia maklum latar belakangnya.

“Di peringkat PMUKM, kita memohon agar mereka yang terbabit kembali menjalani kehidupan normal berasaskan petunjuk Allah s.w.t.,” kata persatuan itu lagi.

Mengulas lanjut ia menambah, kebebasan ada peraturannya, memang manusia diberikan kebebasan menyuarakan pandangan tetapi hendaklah dalam kerangka yang dibenar dan tidak bertentangan dengan fitrah kejadian manusia.

Dalam kenyataan semalam, Ambiga menafikan beliau merupakan penganjur program Seksualiti Merdeka sebaliknya menekankan, beliau hanya merasmikan program itu atas kapasiti sebagai seorang rakyat biasa, bukannya pengerusi Bersih 2.0.

Ambiga berkata Seksualiti Merdeka bertujuan memberi ruang komuniti LGBT yang dipinggirkan untuk mengetengahkan diskriminasi mereka alami setiap hari dan bukannya menggalakkan gejala homoseksual.

Katanya, sementara beliau faham akan tentangan agama terhadap homoseksualiti, ia tidak bermakna rakyat Malaysia tidak boleh menunjukkan kefahaman dan sensitiviti kepada komuniti yang mengalami tekanan dan penganiayaan mental dan fizikal.

Tiada ulasan: