Ahad, 27 November 2011

PKR 'perkenal' muka baru pilihan raya

Salhan K Ahmad

Kemunculan ramai pemimpin muda di pentas kongres nasional parti PKR hari ini menarik perhatian pemerhati yang melihat perkembangan itu sebagai langkah untuk memperkenalkan muka-muka baru dalam pilihan raya umum akan datang.

Potensi bakat muda ini dikesan apabila mereka menyampaikan ucapan masing-masing dengan tema yang seragam berhubung peluang kepada anak muda untuk diketengahkan dalam parti.

Antaranya, ketua pemuda PKR Negeri Sembilan, Mohd Nazree Mohd Yunus yang menyampaikan ucapan bersemangat ketika membahaskan usul memperkasa undi anak muda.

Mohd Nazree yang menyertai PKR pada 2009, membangkitkan mengenai keuntungan yang dapat diperoleh sekiranya parti memanfaatkan kepintaran anak muda.

"Sebab itu dalam parti kita ada golongan lama berpengalaman sejak 1998, sejak zaman reformasi. Tapi harus ingat ada kumpulan baru lepasan universiti dan jumlahnya hampir 1.5 juta," katanya ketika membahaskan usul memperkasa pengundi muda.

Beliau menganjurkan slogan "menghormati yang tua dan menyayangi orang muda" untuk mengimbangi pengaruh dan peranan kedua-dua golongan itu dalam parti.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin bagaimanapun mempunyai pandangan berbeza apabila ditanya sekiranya medan perbahasan kali ini dijadikan ruang untuk menonjolkan calon daripada golongan muda.

Ketika ditemui Malaysiakini, Shamsul Iskandar berkata, pandangan berkenaan mungkin timbul "sebab kongres kali ini diadakan pada musim pilihan raya."

"Tapi tak tepat juga. Memang setiap kali kongres, cabaran kita adalah untuk menonjolkan calon muda untuk dijadikan pemimpin pelapis.

"Kita beri peluang untuk pemimpin yang aktif dalam parti untuk diberikan peluang untuk kupas isu tertentu di hadapan khalayak... Saya tidak ada masalah jika pembahas ini dijadikan calon," katanya lagi.

Tambahnya, beliau berasa gembira kerana hampir 50 peratus daripada barisan pembahas di kongres nasional hari ini terdiri daripada wakil anak muda dalam parti.

Selain Mohd Nazree, antara pemimpin muda yang turut dibariskan dalam sesi perbahasan hari ialah wakil AMK pusat, Lee Khai Loon, P Saravanan, serta Azmizam Zaman Huri.

Turut menarik perhatian pemerhati ialah wakil AMK Pahang, Bob Manolan, Mohd Alfaizal Amjed dari AMK Terengganu dan juga Muhammad Hisommuddin dari AMK Kelantan.

Tiada ulasan: