Sabtu, 12 November 2011

Petronas sah kunjungan SPRM, ‘teliti’ aduan salah laku

TERKINI @ 11:22:34 PM 11-11-2011

KUALA LUMPUR ― Petronas mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada mengunjungi pejabatnya baru-baru ini tetapi menafikan ia telah melakukan serbuan ataupun mengambil sebarang fail dari premisnya.

Syarikat minyak nasional berkata kunjungan SPRM itu sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) apabila ada aduan.

“Ekoran laporan bahawa SPRM telah menyerbu Petronas, kami ingin menjelaskan bahawa tiada serbuan dan tiada fail atau dokumen diambil oleh agensi itu sebagaimana didakwa,” kata Petronas dalam kenyataan kepada media malam ini.

Katanya, pegawai-pegawai SPRM telah berada di ibu pejabat Petronas untuk membantu dalam prosedur laporan maklumat pertama, yang merupakan sebahagian daripada SOP agensi itu ekoran apa jua aduan mengenai salah laku.

Dalam kenyataannya, Petronas menambah, ia mahu menekankan komitmennya yang kuat dan mengikut proses dan prosedur diiktiraf peringkat antarabangsa dalam kerja-kerja tender dan tidak sama sekali bertolak ansur dengan amalan-amalan rasuah.

Pagi tadi The Malaysian Insider membawa laporan bahawa SPRM menyerbu bangunan syarikat minyak nasional Petronas baru-baru ini berhubung dakwaan amalan rasuah di kalangan konsultan projek terlibat dalam kerja-kerja meneroka dan mengeluar minyak di perairan Malaysia.

The Malaysian Insider difahamkan fail-fail berkaitan turut diambil oleh pegawai-pegawai SPRM dan Datuk Seri Najib Razak telah pun dimaklumkan sebelum beliau pergi ke Arab Saudi untuk menunaikan haji. Perdana Menteri kembali ke tanah air kelmarin.

“Pegawai-pegawai penyiasat telah mengunjungi pejabat itu ekoran banyak aduan mahu mendapatkan ganjaran sebagai pulangan kepada syor mendapatkan kontrak,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider tetapi tidak mahu identitinya didedahkan.

Sumber-sumber industri berkata rasuah semakin kerap sejak saban tahun memandangkan Petronas mengurniakan siri kontrak melibatkan pelbagai operasi termasuk usaha mendapatkan lapangan minyak yang baru.

Bagaimanapun mereka tidak mengatakan bahagian di Petronas yang menjadi sasaran siasatan SPRM.

“Ia bukan sesuatu yang luar biasa. Setiap orang tahu permainan itu,” katanya.

Satu lagi sumber memberitahu bahawa pengurusan Petronas telah mengadakan pelbagai mesyuarat untuk membincangkan dakwaan berkenaan amalan rasuah di kalangan pekerjanya, yang merupakan antara mereka yang mendapat gaji paling tinggi di Malaysia termasuk pinjaman perumahan menarik, manfaat perubatan dan insentif-insentif lain.

Petronas ditubuhkan pada Ogos 1974 dan disenaraikan sebagai antara 500 perbadanan terbesar oleh Fortune Global.

Ia menduduki tangga ke-107 tahun lalu selepas berada dalam senarai 100 teratas pada 2008 dan 2009.

Petronas mempunyai lebih 40,000 pekerja tetap di Malaysia dan 35 negara yang mengendalikan operasi.

Tiada ulasan: