Sabtu, 5 November 2011

Peniaga Brickfields gusar projek terbaru DBKL

Projek pembinaan empat perhentian bas dijangka menjejaskan perniagaan dan memburukkan kesesakan jalan raya.



KUALA LUMPUR: Para peniaga di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields berasa gusar dan marah terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang merancang untuk membina beberapa perhentian bas di hadapan premis perniagaan mereka.

Projek pembinaan empat tempat perhentian bas di sepanjang Jalan Tun Sambanthan bertentangan dengan KL Sentral akan dimulakan pada hari Jumaat minggu hadapan.

Sejumlah 150 premis perniagaan yang menjalankan perniagaan di situ akan menghadapi kesukaran untuk berniaga.

Dr R Narkunam dari Klinik Medic City yang mewakili peniaga di situ hari ini memberitahu media bahawa DBKL memekakkan telinga apabila isu ini diketengahkan oleh golongan peniaga pada bulan lepas.

“Jawapan yang mereka kemukakan seperti rakaman suara yang telah ditetapkan. Apa yang berada di dalam premis anda adalah hak anda dan segala yang diluar adalah hak kami,” kata Dr R Narkunam dalam satu sidang media yang diadakan di Brickfields pagi tadi.

Menurut beliau, DBKL turut merancang menukar arah aliran trafik di kawasan tersebut.

Menurut perancangan DBKL bas dan teksi dari kawasan pudu akan melalui Jalan Syed Putra dan menamatkan perjalanan di Jalan Tun Sambanthan.

Beliau turut mengecam DBKL yang langsung tidak mendapatkan pandangan rakyat di Brickfields sebelum melaksanakan projek ini sedangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sanggup turun padang untuk mendengar rintihan rakyat.

Lebih memburukkan keadaan lagi, DBKL sudah pun memulakan proses memecahkan kaki lima dan akan memusnahkan lebih dari 30 ruang parkir kereta di situ.

Kesesakan lalu lintas

Antara permasalahan yang dijangka akan dihadapi oleh para peniaga di sini ialah ketiadaan parkir kereta, ketiadaan tempat untuk memunggah barang ke premis, kesesakan lalu lintas dan ketiadaan tandas awam.

Selain doktor tersebut, pemilik restoran Jassal Tandoori & Jessal Sweet House Encik Amar Singh turut tampil menengahkan permasalahan golongan peniaga di sepanjang jalan tersebut.

“Apabila perhentian bas dibina, papan iklan kedai kami tidak akan kelihatan. Kami terpaksa gulung tikar dalam tempoh enam bulan.”

“CIMB Bank di sini sudah mula memindahkan perkhidmatan deposit wang dan perkhidmatan mesin lain kerana tiada parkir untuk lori keselamatan yang membawa wang tunai,” tambah beliau.

Para pembeli, menurut beliau, enggan datang ke kedai mereka dengan kerap kerana tiada parkir dan kesesakan.

Beliau turut mencadangkan jalan alternatif yang boleh digunakan sebagai laluan bas.

“Bas dari Pudu Sentral sepatutnya pergi ke arah Istana Negara menuju ke Jalan Syed Putra dan memasuki kawasan belakang Little India kerana memang sudah ada perhentian bas disitu.

Sementara itu, seorang penduduk Brickfields G Gunabalan berkata golongan hilang penglihatan pasti akan menentang projek DBKL ini kerana jarak perjalanan yang lebih jauh.

“Kami juga terpaksa belajar semula arah laluan jalan kaki.”

Tiada ulasan: