Isnin, 7 November 2011

Nasib Khir Toyo Diketahui 23 Disember

Oleh: Editor@WD


SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo yang berhadapan dengan pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan hartanah di Seksyen 7 , di sini pada harga lebih rendah, akan mengetahui sama ada dirinya bakal disabitkan atau dibebaskan pada 23 Disember depan.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Mohtaruddin Baki menetapkan tarikh itu pada Selasa, selepas barisan pembelaan yang mewakili ahli politik tersebut selesai mengemukakan lima saksi mereka. Selain itu, Mohtaruddin juga menetapkan 19 Disember depan sebagai tarikh untuk kedua-dua pihak mengemukakan hujahan di akhir kes pembelaan masing-masing.

Mohamad Khir, 46, yang merupakan Menteri Besar Selangor termuda pernah dilantik, didakwa mendapatkan bagi dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 46, dua bidang tanah dan sebuah rumah di nombor 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7, pada harga yang lebih rendah daripada Syarikat Ditamas Sdn Bhd menerusi Pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni.

Beliau didakwa mendapatkan hartanah itu pada harga RM3.5 juta sedangkan Ditamas membayar RM6.5 juta semasa membeli hartanah berkenaan pada 23 Disember 2004.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu pada 29 Mei 2007 di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di sini.

Pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Abd Wahab Mohamed dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Sumber: myStar

Tiada ulasan: