Selasa, 22 November 2011

Mesir: PAS gesa PM tuntut sidang tergempar OIC

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: PAS mendesak kerajaan Malaysia segera membuat tuntutan supaya Pertubuhan Negara-negara Persidangan Islam (OIC) memanggil sidang tergempar ekoran angka kematian terus meningkat ketika pihak berkuasa Mesir menggempur penunjuk perasaan di Dataran Tahrir.

Sehingga kini dilaporkan sudah 33 orang penunjuk perasaan maut dan lebih 2000 cedera setelah polis cuba menyuraikan kumpulan penunjuk di Dataran Tahrir perasaan dengan membedil gas pemedih mata.

"Kita mendesak kerajaan Malaysia khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, segera membuat tuntutan agar diadakan mesyuarat khas OIC," kata Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat Datuk Kamaruddin Jaffar kepada Harakahdaily.

"OIC perlu mengambil keputusan mendesak pihak berkuasa Mesir menghentikan keganasan kepada rakyat mereka," tambah Kamaruddin yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

Selain angka kematian yang terus meningkat, media juga melaporkan sekurang-kurangnya sebuah pangsapuri juga terbakar akibat kelongsong puluru gas pemedih mata yang ditembak polis tersasar masuk ke rumah berkenaan.

Malam tadi beribu penunjuk perasaan berkumpul di Dataran Tahrir menangis sambil memegang sepanduk "Jatuh bersama Tantawi" di Dataran Tahrir, Kaherah, merujuk kepada pemerintah tentera, Hussein Tantawi.

Tunjuk perasaan bermula kelmarin di Medan Tahrir apabila anggota polis melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah untuk meleraikan kekecohan yang dirancang oleh kumpulan yang menggulingkan Mubarak pada Februari lalu.

Tiada ulasan: