Ahad, 6 November 2011

Menteri: DBKL ada kuasa tindak jika anjur Seksualiti Merdeka

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil tindakan ke atas pihak yang mengadakan program Seksualiti Merdeka 2011 di ibu negara, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau berkata DBKL akan sentiasa memantau bagi menghentikan langkah menghidupkan atau mempromosi kegiatan tidak bermoral itu.

"DBKL berhak ambil tindakan kerana tiada kelulusan diberi untuk majlis sebegini.

"Kalau ia dilakukan di premis perniagaan, kita boleh sita dan kalau di premis awam kita akan ambil tindakan (terhadap penganjur)," katanya kepada pemberita pada majlis korban di Jalan Klang Lama di sini hari ini.

Dipetik Bernama Online, Raja Nong Chik berkata meskipun program seumpama itu diadakan setiap tahun sejak 2008, namun DBKL tidak pernah menerima sebarang aduan disebabkan ia dilakukan tanpa publisiti seperti yang berlaku sekarang.

Polis Diraja Malaysia mengharamkan sebarang majlis yang dilakukan mana-mana penganjur berkaitan dengan program 'Seksualiti Merdeka' berkuat kuasa Khamis lalu.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan juga berkata pihaknya sedang menyiasat perkara tersebut.

Tiada ulasan: