Sabtu, 12 November 2011

MB Selangor jawab isu gaji GM PKNS minggu depan

THE MALAYSIAN INSIDER



SHAH ALAM ― Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan memberi penjelasan berhubung pembayaran gaji dan bonus kepada Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu depan.

Isu gaji dan bonus itu dibangkitkan Ketua Pembangkang Datuk Mohamad Satim Diman pada sidang semalam.

Khalid (gambar) berkata penjelasan itu akan dibuat ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2012.

Menteri Besar berkata, beliau akan membuat perbandingan antara gaji dan elaun pengurus di bawah syarikat Khazanah Nasional Berhad dengan pengurus besar PKNS.

“Ini sebab pendapatan pengurus di bawah syarikat Khazanah direkod dan saya akan tunjukkan kepada anggota dewan mengenai jumlah pendapatan mereka berbanding pendapatan yang diterima pengurus besar PKNS,” katanya dipetik Bernama Online.

Satim pada sidang akhbar semalam mempertikaikan pembayaran gaji dan bonus Pengurus Besar PKNS berjumlah RM1.4 juta bagi tempoh dua tahun yang disifatkan melampau dan tidak masuk akal.

Ditanya mengenai cadangan ADUN Bukit Antarabangsa Azmin Ali yang meminta kerajaan negeri meneliti semula kaedah pembayaran dividen dan sumbangan oleh anak-anak syarikat, Khalid berkata: “Kita akan kaji perkara itu tetapi kena lihat beberapa aspek perakaunan.”

Azmin ketika membahaskan Belanjawan 2012 hari ini mencadangkan agar anak-anak syarikat kerajaan negeri membayar dividen terus kepada akaun hasil disatukan di bawah kerajaan negeri sebelum dibayar kepada Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Beliau berkata langkah itu bagi menangkis tohmahan kononnya anak-anak syarikat tidak membuat keuntungan daripada pelaburan mereka.

Tiada ulasan: