Khamis, 3 November 2011

Lynas: Mustapa putar belit kenyataan Presiden PAS

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: PAS mengecam Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang memutar belit kenyataan presiden parti itu mengenai pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi oleh syarikat Australia, Lynas Corporation Ltd (Lynas).

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad berkata, tindakan Mustapa yang merujuk kepada kenyataan Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum keputusan rasmi dibuat parti itu adalah tidak wajar.

"Pihak menteri pun bertindak dengan tidak bertanggungjawab dengan merujuk kepada kenyataan yang dibuat (Hadi) sebelum PAS buat keputusan rasmi selepas kita bermesyuarat," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ustaz Hadi dalam muktamar PAS Jun lalu ada menyebut akan merujuk mengenai tahap keselamatan projek pembinaan tersebut kepada pakar-pakar dalam bidang berkaitan daripada parti itu sendiri.

"PAS buat kenyataan rasmi bahawa pembinaan Lynas berbahaya dan tidak boleh diteruskan sebelum Lynas memberikan penjelasan kepada penduduk.

"Menteri putar belit kenyataan Presiden dengan menggunakan hujah (Ahli Parlimen) Hulu Langat yang daripada sisi beliau sebagai pakar nuklear.

"Mengikut disiplin nuklear memang tak selamat tapi kena ikut disiplin yang lain juga," katanya.

Dr. Che Rosli Mamat, Ogos lalu mengeluarkan kenyataan bahawa projek pembinaan tersebut tidak berbahaya kepada penduduk setempat.

Bagaimanapun kata Khalid, ianya merupakan pandangan peribadi beliau, bukan pendirian PAS dan disokong Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad yang turut bersama pada sidang media tersebut.

Cabar menteri bincang

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mencabar Mustapa berhujah dengannya mengenai perkara tersebut, bukan hanya mengeluarkan kenyataan berdasarkan fakta Lynas sahaja.

"Menteri harus mendapatkan input alternatif sebelum berhujah...jangan guna input Lynas semata-mata, seperti yang saya katakan Menteri seolah-olah menjadi jurucakap Lynas.

"Saya cabar menteri kalau benar-benar ikhlas, dengar apa saya nak cakap. Saya ada banyak input alternatif yang saya nak kongsikan. Kalau beliau sedia, saya pun bersedia," katanya

Tambahnya, pihaknya sangat kecewa dengan tindakan menteri yang menggunakan kuasa beliau untuk mendapatkan liputan media bagi menunjukkan kononnya semua pihak bersetuju dengan Lynas.

"Kita sangat kecewa dengan menteri yang tidak berlandaskan fakta dann menggunakan kedudukan beliau untuk mendapat liputan media," katanya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat.

Semalam, Mustapa sewaktu menjawab pencelahan Fuziah sewaktu membahaskan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat semalam berkata majoriti penduduk bersetuju dengan pembinaan projek tersebut selepas pertemuan dan penerangan dilakukan dengan pihak terbabit.

Namun, Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkifli Omar membantah perkara itu kerana beberapa pertemuan yang dibuat dengan pihak berwajib menunjukkan projek tersebut tidak boleh diteruskan sehingga menepati piawaian.

"Lajnah alam sekitar dah lakukan pertemuan dengan pihak berwajib sepert Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pahang, Menteri Besar Pahang kita gagal jumpa kerana tidak pernah ada di pejabatnya.

"Akhirnya pertemuan dengan Ketua Setiausaha Miti dan beliau berkata Miti akan hentikan dulu projek ini sekiranya tidka menepati prosedur," katanya.

Tiada ulasan: