Selasa, 22 November 2011

Lembah Pantai: Raja Nong Chik lawan Nurul Izzah?

Nurul Izzah dakwa Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mengabaikan kawasan lain kerana mahu rampas kerusi Lembah Pantai.



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar sangat yakin bahawa Umno akan menurunkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin akan bertanding di kerusi itu dalam pilihanraya ke-13.

Keyakinan ini disandarkan kepada beberapa faktor, antaranya penumpuan Raja Nong Chik terhadap Lembah Pantai.

“Daripada penyalahgunaan kuasa dan jawatan selaku Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar untuk meluaskan pengaruh beliau di Lembah Pantai, sementara meminggirkan kawasan lain di Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan khususnya Labuan, jelas bahawa Raja Nong Chik berkemungkinan besar bertanding di Lembah Pantai,” kata Nurul yang juga ialah naib presiden PKR.

Nurul berkata demikian ketika diminta meramal kemungkinan Raja Nong Chik merebut kerusi Lembah Pantai di dalam satu temuramah menerusi e-mel.

Beliau menambah bahawa keyakinannya itu diperkukuhkan lagi kerana dihalang dari menggunakan prasarana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta memasuki surau dan masjid seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi).

Halangan

Beliau mendakwa halangan ini wujud sejak Raja Nong Chik menjadi ketua bahagian Umno Lembah Pantai.

“Semua ini merupakan tindakan maha tidak profesional dan mengecewakan oleh seorang menteri lantikan BN,” kata Nurul.

Nurul menjadi ahli parlimen Lembah Pantai setelah menewaskan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan undi majoriti 2895 di dalam pilihan raya umum ke-12 pada tahun 2008.

Dari sudut sokongan beliau mengakui penerimaan warga kota terhadap Pakatan Rakyat.

“Tahap sokongan warga kota sememangnya banyak berpihak kepada para pembangkang, sehingga memungkinkan pemisahan Kuala Lumpur daripada Selangor, dan diletakkan selaku tanah jajahan kerajaan pusat sehinggalah hari ini.

Kubu kukuh

“Justeru, tahap keterbukaan warga kota terhadap parti parti pembangkang adalah penting dalam memperkukuh kubu-kubu PR khususnya di kerusi-kerusi seperti Bukit Bintang, Kepong, Seputeh dan juga Cheras.

Ini, jelas beliau, tidak bermakna bahawa Pakatan akan memandang mudah usaha penyebaran maklumat berkaitan Pakatan.

“Apapun, tahap sokongan ini perlu diperbaiki dengan penyaluran maklumat serta komunikasi yang membantu menjelaskan dasar-dasar Pakatan Rakyat yang berlainan dengan BN – dengan perbandingan manfaat yang diberi kepada warga Selangor, dibanding dengan KL.”

Beliau menambah bahawa penterjemahan suara rakyat menerusi wakil Pakatan memaksa BN memperbaiki tahap perkhidmatan mereka.

“Pembaikan perkhidmatan mereka berlaku ke tahap di mana agenda kesejahteraan bandar itu diterap di dalam agenda Kementerian Wilayah Persekutuan.

Mengurangkan rasuah

“Hanya perbezaannya adalah komitmen kita yang mendahulukan keperluan rakyat, dan mengurangkan rasuah.”

Nurul Izzah turut ditanya tahap sokongan pengundi Kuala Lumpur terhadap Pakatan sedangkan masalah-masalah seperti isu Kampung Baru, kesesakan tidak diselesaikan oleh wakil rakyat Pakatan.

“Hakikatnya, rakyat sedar akan kontradiksi yang wujud dengan kuasa yang masih berpusat di dalam tangan BN walhal sepuluh daripada sebelas kerusi KL jatuh ke tangan Pakatan.

“Kampung Baru, kesesakan, dan DBKL yang jumud dilihat sebagai peninggalan atau khazanah BN yang hanya mungkin dapat diperhalusi dan diperbaiki dengan penukaran kerajaan pusat daripada yang sedia ada kepada Pakatan.

Tiada ulasan: