Jumaat, 11 November 2011

Integriti: Bukan sifar, tetapi negatif

SAYA tidak pasti sejauh manakah integriti dipandang berat dalam masyarakat kita. Sering kali kita mendengar ucapan berapi-api seperti “kita sanggup bermandi darah pertahankan ketuanan Melayu”, malah ada yang “sedia berjihad untuk mempertahankan agama.”

Maksudnya, kepentingan kaum dan agama dijulang pada satu kedudukan yang begitu tinggi, sehingga kita sanggup mengorbankan nyawa untuknya.

Namun, jarang sekali kita mendengar sesiapa yang sanggup mati demi mempertahankan integriti. Pada hakikatnya, integriti boleh digadaikan atas nama kepentingan bangsa dan agama.

Tiada masalah apabila politikus yang pernah bersumpah untuk memerangi rasuah bertukar menjadi sesumpah yang mengugut untuk membakar media internet - asalkan dilakukan atas nama kepentingan Melayu dan Islam.

Tiada yang mengajukan soalan kepada si sesumpah, “Bukankah ‘sumpah palsu’ itu kesalahan besar dalam Islam? Apakah ‘mengugut’ itu budaya Melayu?”

Integriti terus diremehtemehkan, dan akhirnya kita terpaksa menelan padahnya.

Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah (Himpun) tidak terselamat daripada malapetaka ini. Saya tidak berhasrat untuk mempertikaikan perjuangan Himpun di sini, malah saya faham keresahan yang menyelubungi umat Islam Malaysia (sama ada hadir atau tidak ke Himpun) - melihat kepada gejala sosial yang semakin menular, yang akhirnya dikaitkan dengan akidah.

Antara pemimpin Himpun, misalnya Cikgu Azmi Hamid daripada Teras Pengupayaan Melayu (Teras), tidak dianggap sebagai “musuh” kepada PAS mahupun Pakatan Rakyat, jika diimbas perjuangan beliau sebelum ini. Sejak terlibat dengan Himpun, tersebar desas-desus bahawa beliau “dibeli” Umno.

Tuduhan sedemikian agak “menghina”, dan boleh menjadi fitnah jikalau tidak berasaskan bukti. Ia membuatkan saya merenung sejenak, apakah sebenar yang berlaku, sehingga seseorang Muslim sanggup melemparkan tuduhan sedemikian kepada saudara Muslimnya, yang bukan musuhnya, kalaupun bukan kawan.

Jawapannya, Umno dan Utusan Malaysia. Ramai yang meraguragu, sama ada untuk menyertai Himpin atau tidak. Namun, apabila Utusan Malaysia memberi liputan yang luas, maka “sesuatu yang tak kena” dirasai. Malah, apabila permit perhimpunan diluluskan kerajaan Umno- BN dalam masa yang singkat, kesangsian semakin menebal.

Dan apabila Presiden Perkasa, Ibrahim Ali turun ke padang, dijangka 995,000 orang membuat pusingan-U dalam perjalanan hasratnya menuju ke Stadium Shah Alam.

Untuk saya, ini krisis integriti. Kalau diukur dengan matematik, ia bukannya “sifar”, tetapi “negatif”. Maknanya, orang bukan sahaja tidak percaya dengan apa yang ditulis dan diperkatakan, tetapi cenderung untuk mentafsir maksudnya secara terbalik. Setiap perkataan pujian dari mulutnya menjadi sesuatu yang menghina, setiap penafiannya ditafsir sebagai kenyataan “mengiyakan”. Apabila perasuah diangkat sebagai wira, maka pengkhianatnya adalah pahlawan yang berani.

Demikianlah kemelut yang sedang dialami Umno dan lidah partinya. Cuba bayangkan, media yang menabur fitnah, menyiarkan gambar separa lucah, menyemai permusuhan antara kaum dan agama - kalau mengikut kayu ukur negara asing yang bertamadun, sudah lama media sedemikian diboikot di pasaran, kalaupun tidak diharamkan oleh kerajaan. Di Malaysia yang mewajibkan muridnya menghafal “kepercayaan kepada Tuhan” setiap pagi Isnin, terus mengangkat media sedemikian sebagai “penyebar fikiran rakyat”, malah dipertahankan sebagai lambang suara Melayu.

Sistem demokrasi sendiri memberi ruang kebebasan untuk mana-mana golongan meluahkan masalah dan menuntut kepentingan mereka. Namun, kepentingan bangsa dan agama bukan bermakna anda berhak melempar fitnah bahawa golongan Kristian ingin menjadikan Kristian agama rasmi di Malaysia. Malah, fitnah baru-baru ini bukan sahaja dipanah ke arah musuh politik dalam gelanggang, tetapi anaknya di luar gelanggang politik!

Remaja 16 tahun (anak Lim Guan Eng) yang tidak bersalah ini difitnah, malah arwah Ahmad Sarbaini juga difitnah dengan satu gambar gadis dalam telefon bimbitnya, padahal sudah dikisahkan bahawa gambar itu diambil oleh anak perempuan arwah sendiri ke atas kawannya.

Kadang-kala ia sesuatu yang meloyakan apabila melihat pemimpin mendakwa dirinya tampil untuk menyelamatkan “generasi akan datang” daripada pemimpin tidak bermoral - untuk menghalalkan penayangan video lucah secara terbuka kepada media. Orang yang membaham gadis berumur 15 tahun mahu menyelamatkan “generasi akan datang”?

Di sini masalahnya. Seruan “Selamatkan Akidah” yang mungkin berhasrat murni sebermulanya, dinodai niatnya - kerana disiarkan media yang integritinya negatif, disokong pula politikus yang muflis amanahnya. Untuk saya ia tidak kurang bahayanya berbanding isu akidah - apabila garis yang memisahkan antara hitam dan putih, dikaburkan begitu sahaja.

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita sama-sama merenungi, apakah akidah mampu diselamatkan, seandainya kita terus meremeh-temehkan masalah “integriti negatif” si penguasa? UTARA ONLINE

Tiada ulasan: