Isnin, 21 November 2011

Himpun luaskan kempen antimurtad di tiga negeri



“Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Aqidah” di stadium Shah Alam, 22 Oktober 2011. — Foto fail


KUALA LUMPUR — Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang mengadakan perhimpunannya akhir bulan lalu dengan kehadiran sekitar 5,000 orang di Shah Alam mahu meneruskan kempennya menentang murtad di tiga negeri termasuk di Perak bulan depan.

“Himpun akan mula menggerakkan perhimpunan mereka ke setiap negeri selaras dengan Resolusi Himpun yang dibacakan di Shah Alam Oktober lalu,” kata Pengerusi Bersama Himpun Mohd Azmi Abdul Hamid.

Azmi menganggarkan seramai 10,000 peserta akan menyertai perhimpunan peringkat negeri di lokasi pertama mereka di Stadium Indera Mulia, Ipoh pada 17 Disember ini.

“Selaras dengan Resolusi Himpun ketika perhimpunan peringkat kebangsaan lalu, Himpun akan menggerakkan perhimpunan ini ke peringkat negeri bagi menyuarakan tentangan mereka terhadap gerakan Kristianisasi ke atas umat Islam oleh golongan-golongan tertentu. “Perhimpunan aman ini dijangka akan disertai seramai 10,000 peserta, yang merupakan kapasiti stadium tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Azmi lagi, selain Perak, perhimpunan itu juga akan bergerak ke Negeri Sembilan dan Johor, masing-masing pada 7 dan 28 Januari depan.

Bagaimanapun lokasi perhimpunan tersebut belum diputuskan untuk dua negeri berkenaan.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia ini juga menegaskan, seperti perhimpunan pertamanya gabungan NGO Islam ini tetap dengan pendirian mereka iaitu matlamat utama perhimpunan ini bukanlah untuk menentang sesiapa, sebaliknya menyatukan umat Islam di bawah satu perkara iaitu soal berkaitan pengukuhan akidah orang Islam di negara ini.

“Himpun telah mendapat komitmen sepenuhnya daripada NGO di peringkat nasional dan negeri, dan kami menegaskan, perhimpunan ini bukan menentang agama lain, tetapi menentang segelintir pihak yang cuba memurtadkan umat Islam dan menjadi agen perpaduan umat Islam bersatu,” katanya.

Beliau turut menegaskan, perhimpunan ini masih lagi mengekalkan prinsipnya iaitu tidak melibatkan unsur politik mana-mana parti, tetapi tetap akan menjemput ahli politik untuk bersama-sama menyertai perhimpunan mereka.

“Tujuan Himpun adalah untuk memasyarakatkan umat Islam tentang isu ini di setiap negeri dan kami juga tidak terlibat dengan mana-mana parti politik, tetapi kami tetap akan menjemput ahli politik daripada parti politik yang melibatkan bangsa Melayu, dan Islam untuk menyertai perhimpunan di peringkat negeri ini,” jelasnya.

Sehubungan itu, Azmi menjelaskan, pihaknya juga akan mengadakan sesi dialog dan berbincang dengan parti politik bagi memberikan penjelasan sebenar berkaitan perkara yang diperjuangkan.

“Kami akan membuat perjumpaan dengan parti politik berkaitan bagi menjelaskan perkara sebenar matlamat dan tujuan perhimpunan ini, bahawasanya Himpun bukanlah agenda politik mana-mana pihak, tetapi kami mementingkan akidah dan agama Islam,” tegasnya lagi. Selain itu, Azmi juga berkata, Himpun akan turut mengadakan perbincangan dengan badan-badan berkaitan agama Islam di negara ini supaya mereka dapat memperkukuh undang-undang berkaitan Islam bagi mengelakkan gejala pemurtadan orang Islam ini semakin berleluasa.

Tiada ulasan: