Ahad, 6 November 2011

Hapuskan semua peruntukan Seksyen 15 AUKU

Roketkini.com

PETALING JAYA– Bukan sahaja Seksyen 15 (5) (a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) perlu dimansuhkan, malah keseluruhan peruntukan seksyen itu yang mencengkam kebebasan pelajar dan pensyarah mesti dihapuskan sama sekali.

Mahkamah Rayuan baru-baru ini memutuskan bahawa Seksyen 15 (5) (a) AUKU sebagai tidak sah serta melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Dalam keputusan majoriti, Hakim Hishamudin Yunus menyatakan: “Universiti perlu menjadi tempat memupuk reformis dan pemikir, dan bukannya institusi yang melahirkan pelajar yang dilatih menjadi robot”.

Hakim Linton Albert pula menyatakan bahawa seksyen dalam AUKU itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal kerana pelajar universiti terpaksa berdepan dengan kemungkinan dipecat dari pengajian semata-mata kerana hadir dalam kempen pilihan raya kecil.

Justeru, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, Kabinet Datuk Seri Najib Razak sepatutnya tidak merayu semula keputusan Mahkamah Rayuan, sebaliknya memansuhkan kesemua peruntukan dalam Seksyen 15 AUKU.

Katanya, Seskyen 15 (1) menyatakan bahawa semua pelajar univeristi, walau pun mereka layak mengundi atau pun pelajar ijazah doktor falsafah PhD, tidak boleh menjadi mana-mana ahli kepada parti politik atau apa-apa pertubuhan yang ditentukan oleh Menteri.

Menurutnya, Seksyen 15 (2) pula menyatakan pertubuhan-pertubuhan pelajar universiti tidak dibenarkan mempunyai sebarang hubungan dengan mana-mana parti politik atau apa-apa pertubuhan yang ditentukan oleh Menteri.

Seksyen 15 (6) (a) pula menyatakan pelajar dan pensyarah hanya dibenarkan membuat kenyataan dalam bidang kajian dan kepakaran mereka sahaja manakala Seksyen 15 (6) (b) melarang penyertaan mereka dalam mana-mana seminar, simposium atau acara yang dianjurkan oleh parti politik, walau pun dalam bidang kajian dan kepakaran mereka.

“Seksyen-seksyen AUKU itu jelas tidak adil dan melanggar Perlembagaan – termasuk Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang – yang melarang diskriminasi terhadap pelajar dan pensyarah.

“Perkara 10 dalam Perlembagaan juga menjamin kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan,” katanya.

Menurut Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, rakyat Malaysia berharap Kabinet akan membebaskan pelajar dan pensyarah setelah lama dikekang, selaras dengan hasrat transformasi politik Perdana Menteri.

Sebelum ini, Najib apabila memutuskan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan meminda peruntukan pembaharuan lesen tahunan akhbar dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) telah menyatakan ia adalah “satu usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi terbaik di dunia”.

Media massa memetik Perdana Menteri sebagai berkata: “Sudah sampai masa kita melangkah satu lagi ke hadapan membawa negara (ke tahap) begitu tinggi bukan sahaja dari segi ekonomi serta pendidikan tetapi pegangan prinsip demokrasi kita nak letak antara terbaik di dunia”.

Pua berkata, beliau telah pun membawa usul untuk meminda keseluruhan Seksyen 15 AUKU sewaktu perbahasan peringkat jawatankuasa kecil pindaan AUKU pada Disember 2008 tetapi ditolak oleh semua Ahli Parlimen Barisan Nasional.

“Kita merayu kepada Kabinet supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama, bukan sahaja kerana menjejaskan ‘program transformasi’ Perdana Menteri tetapi juga maruah dan kewibawaan institusi pengajian tinggi kita.

“Tanpa kebebasan akademik, semua universiti kita tidak akan berjaya mencapai matlamat menjadi institusi bertaraf dunia,” ujarnya.

Menurutnya, tanpa mengambil kira keputusan Peguam Negara sama ada mahu merayu atau tidak keputusan Mahkamah Rayuan, Najib mesti mengambil inisiatif untuk memansuhkan segala elemen yang bertentangan dengan Perlembagaan daripada AUKU.

Tiada ulasan: