Jumaat, 4 November 2011

Bersedia Untuk Dihadapkan Ke Mahkamah - Mohd Shukri

KL POS.COM

PUTRAJAYA - Timbalan Ketua Pesuruh­jaya (Operasi) SPRM, Mohd Shukri Abdull berkata SPRM telah membuka 30 kertas siasatan bagi menyiasat penyelewengan didedahkan Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Beliau turut mengesahkan sebahagian daripada siasatan itu telah selesai dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan.

“Kesemua siasatan itu dijangka selesai penghujung tahun ini, ada di antara mereka akan dihadapkan ke mahkamah untuk didakwa,” katanya di Ibu Pejabat SPRM.

Dalam sidang media tersebut, SPRM turut menyarankan Jabatan Taman Laut mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai yang cuai membuat kajian harga pasaran dalam perlaksanaan tender berhubung pembelian binokular.

Mohd Shukri berkata, hasil siasatan mendapati pegawai terbabit tidak mematuhi tatacara yang dikeluarkan oleh Perbendaharaan Negara. Tatacara perbendaharaan jelas menyatakan bahawa setiap pegawai yang terbabit dalam perlaksanaan tender, perlu membuat kajian harga pasaran bagi mengelakkan kerajaan mengalami kerugian.

“Ini menunjukkan jabatan berkenaan gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh perbendaharaan agar meneliti harga pasaran sebenar sebelum membuat pembelian. “Hasil siasatan juga mendapati tiada unsur rasuah dalam pembelian dua set binokular (penglihatan malam) yang dibeli oleh jabatan tersebut,” katanya

Terdahulu, Laporan Audit Negara 2010 mendedahkan pembelian binokular oleh Jabatan Taman Laut didapati 2,805 peratus lebih mahal berbanding harga pasaran.

Laporan Ketua Audit Negara 2010, mendedahkan barangan itu yang harga pasarannya RM1,940 telah dibeli pada harga RM56,350 sebuah. Sementara itu, Binokular Bushnell (penglihatan malam) yang berharga RM2,827 di pasaran, dibeli pada harga RM56,350 sebuah, iaitu 1,893 peratus lebih tinggi.

Ini adalah antara perbezaan harga barangan yang dibeli jabatan itu, yang dikenal pasti Jabatan Audit Negara melebihi antara 177 peratus hingga 2,805 peratus berbanding harga pasaran.

Syarikat berkenaan memperolehi tender daripada Jabatan Taman Laut bagi membekalkan bot aluminium termasuk beberapa peralatan lain seperti komputer riba, mesin pencetak, televisyen LCD termasuk binokular dengan harga RM7.51 juta.

Walaupun pakej keseluruhan yang ditawar oleh syarikat tersebut rendah tetapi harga peralatan tertentu dalam pakej itu tidak munasabah. “Harga pasaran bagi binokular itu sekitar RM5,000, tetapi syarikat tersebut meletakkan harga RM100,000 bagi pembelian dua unit barangan berkenaan.

“SPRM juga akan menggesa kerajaan untuk senarai hitamkan syarikat tersebut kerana melakukan penyelewengan dan mengambil kesempatan terhadap kerajaan,” katanya.

Tiada ulasan: