Khamis, 3 November 2011

Audit operasi Syabas minggu ini, kata MB Selangor

THE MALAYSIAN INSIDER

SHAH ALAM ― Dua firma perakaunan yang dilantik kerajaan Selangor akan menjalankan kajian terperinci ke atas akaun dan operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) minggu ini sebagai persediaan untuk mengelak kekurangan bekalan air di negeri ini.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata hasil laporan berkenaan akan dikemukakan bagi memberi penjelasan berhubung dakwaannya bahawa loji pembersihan milik kerajaan negeri, yang diurus Syabas, tidak mengeluarkan air terawat mencukupi.

“Ini (dakwaan Syabas tidak keluar air terawat mencukupi) adalah soal teknikal.

“Kita akan terangkan selepas audit terhadap Syabas dibuat dan saya akan kemukakan apa yang audit buat nanti,” katanya dipetik Bernama Online.

Sebelum ini, Khalid persediaan untuk mengelak berlakunya kekurangan bekalan air di negeri ini tanpa bergantung kepada projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2).

Beliau berkata kajian itu dijalankan terutama daripada segi penggunaan aset negeri termasuk loji pembersihan yang akan dipulihkan semula supaya Selangor mempunyai air terawat yang mencukupi.

Dalam perkembangan lain, Khalid (gambar) berkata kerajaan negeri akan mengadakan sesi penerangan kepada orang ramai mengenai skim premium tanah yang diperkenalkan pada Jun lalu.

“Skim ini adalah pilihan kerana pemilik tanah boleh memilih cara bayaran mengikut kadar pengiraan yang lama. Kita tidak memaksa pemilik tanah memilih skim baru ini sebaliknya terletak di tangan mereka mengikut tahap kemampuan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri turut bersedia untuk berdebat mengenai isu terbabit jika masih ada pihak yang tidak memahami polisi berkenaan walaupun setelah menghadiri sesi taklimat.

Tiada ulasan: