Rabu, 16 November 2011

Amal diskriminasi: 'Hotel reggae' dicadang ditutup


Hazlan Zakaria

Kementerian Pelancongan mahu pihak berkuasa tempatan yang menguruskan lesen rumah tumpangan di Kuala Lumpur bertindak terhadap 'hotel' yang didakwa enggan menerima rakyat Malaysia, India dan Timur Tengah menginap di situ.

NONETimbalan Menteri James Dawos Mamit (kiri) memberitahu Dewan Rakyat, beliau hairan kenapa rakyat negara ini tidak dibenarkan menginap di situ.

Justeru, katanya, kementerian akan mencadangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan, termasuk menggantung hotel pengembara itu daripada beroperasi kerana kementerian tidak mempunyai kuasa dalam perkara itu.

Perkara itu asalnya dibangkitkan oleh Anthony Loke (DAP-Rasah) yang menuduh hotel tersebut seperti menjalankan dasar "apartheid" dan merendahkan maruah rakyat Malaysia di mata dunia ekoran amalan yang "pilih kasih" itu.

Loke berkata, alasan yang diberikan hotel di Jalan Tun Perak itu bahawa mereka menyediakan alkohol dan makanan tidak halal tidak boleh diterima dan tidak menghormati Islam sebagai agama kebanyakan rakyat di ketiga-tiga negara berkaitan.

NONEIsu yang sama pernah dibangkitkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) minggu lalu yang menggesa pihak berkaitan memeriksa sama ada lesen dikeluarkan terhadap rantaian hotel reggae di Pulau Pinang dan Kulala Lumpur.

Presiden SM Mohamed Idris (kanan) berkata, sekiranya berdaftar, pemiliknya perlu didakwa kerana tindakan menjual makanan tidak halal di premis itu ditafsirkannya sebagai melanggar Akta Industri Pelancongan 1992.

Beliau mendakwa, selain tidak menerima tempahan warganegara Malaysia, India dan Timur Tengah, sebuah laman web hotel itu meletakkan notis tidak menyediakan kemudahan kerusi roda dan tidak menerima tetamu berumur 60 tahun ke atas.

Tiada ulasan: