Isnin, 14 November 2011

Ahmad Maslan: Rugi jika AGM Umno tak bincang strategi hadapi PRU-13

THE MALAYSIAN INSIDER



PEKAN― Perhimpunan Agung Umno 2011 hujung bulan ini perlu dijadikan medan bagi perwakilan untuk menyuarakan pandangan dalam memenangi pilihan raya umum ke-13 khususnya menawan kembali negeri yang dikuasai pembangkang.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan (gambar) berkata, perkara itu perlu dibincangkan kerana pilihan raya umum sudah terlalu hampir.

“Rugi besar jika tidak dibincangkan dengan teliti kerana pilihan raya sudah dekat sangat.

“Saya harap perwakilan akan membincangkan perkara berkenaan dengan teliti bagaimana nak menang kawasan yang kalah, mengukuhkan kemenangan di kerusi sedia ada dan menawan semula negeri yang kalah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Semai Bakti Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) di Felda Chini 2 dekat sini, hari ini.

Dipetik Bernama Online, kata beliau, perwakilan juga perlu membincangkan secara terperinci kriteria calon boleh menang yang dikehendaki Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Perhimpunan Agung Umno 2011 akan berlangsung dari 29 November hingga 3 Disember ini.

Sementara itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, perwakilan juga diharap membincangkan mengenai dasar transformasi negara pada masa ini.

Katanya, perwakilan bebas mengemukakan permasalahan berkaitan perkara itu supaya kepemimpinan parti memperoleh maklum balas dan memperbaiki kelemahan demi kepentingan rakyat.

Tiada ulasan: