Isnin, 7 November 2011

Acara Korban Terbesar Dalam Sejarah Masjid Negeri

Oleh Afix Redzuan


SHAH ALAM: Upacara korban bersempena Hari Raya Aidil Adha berlangsung meriah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah apabila lebih 33 orang individu menyertai majlis korban di sini.

Penyertaan kali ini merupakan jumlah tertinggi yang dicatatkan dengan 34 ekor lembu diperuntukkan dan salah satu daripadanya adalah daripada syarikat Shahpadu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengimarahan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Datuk Abu Bakar Abdul Hamid, selain majlis korban, pihak masjid turut mengadakan beberapa program penghayatan Aidil Adha. Ini termasuk mengadakan forum agama selain majlis berkhatan beramai-ramai sebagai satu usaha pengimarahan masjid.

 "Sebenarnya kita sudah membuat pengumuman lebih awal. Selepas Ramadhan kita sudah mewar-warkan kepada masyarakat untuk mengambil bahagian.

"Di Shah Alam terdapat banyak surau-surau dan mereka turut terlibat. Jadi, masalah-masalah kegagalan atau tidak menerima orang untuk menyertai majlis korban tidak timbul," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Korban 2011 Mohd Hussain berkata daging-daging korban tersebut diagihkan kepada masyarakat setempat termasuk anak-anak yatim.

Untuk tahun ini, harga seekor lembu korban adalah RM2,500 dan RM370 untuk satu bahagian.

Sebelum itu, Sultan Selangor, Sultahan Sharafuddin Idris Shah bersama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan pimpinan kerajaan Selangor hadir bersama lebih 10,000 orang jemaah bagi menunaikan solat sunat Aidil Adha.

 Solat sunat berjemaah dan kutbah Aidil Adha dengan tajuk 'Berkorban dan Berjihad Untuk Islam' disampaikan oleh Mufti Negeri Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid.

Tiada ulasan: