Rabu, 5 Oktober 2011

Tindakan dikena jika halang pelajar duduki peperiksaan: Muhyiddin



KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran akan mengambil tindakan terhadap pihak sekolah yang sengaja menghalang mana-mana pelajarnya daripada menduduki peperiksaan penting dalam sistem pendidikan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kementerian sedang meneliti beberapa laporan yang diterima berhubung perkara itu, dan jika ada asas, tindakan akan diambil.

"Tapi kalau pelajar sendiri tidak mahu menduduki peperiksaan kita kaji dengan teliti dan ini bukan salah guru, tidak perlu ambil tindakan," katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Hartamas dekat sini, Rabu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran meninjau sendiri 262 calon peperiksaanPenilaian Menengah Rendah (PMR) sekolah berkenaan yang sedang menjawab soalanBahasa Inggeris Kertas 1, pada hari kedua peperiksaan itu berlangsung. Muhyiddin mengingatkan pihak sekolah supaya tidak terlalu ghairah mengejar kecemerlangan sekolah sehingga menafikan hak pelajarnya untuk menduduki peperiksaan penting pendidikan.

"Apa yang penting adalah kesedaran. Jangan dengan sebab nak mengejar kecemerlangan kita ketepikan hak pelajar atau abaikan peluang untuk mereka menduduki peperiksaan. Satu kemestian untuk menduduki peperiksaan awam, tidak boleh disekat atau dihalang," katanya. Beliau juga mengingatkan semua pihak sekolah supaya tidak mengulangi perkaraterbabit dan perlu memahami bahawa setiap pelajar perlu diberikan peluang mendapat pendidikan sempurna dan mengambil peperiksaan untuk menilai pencapaian mereka.

Muhyiddin berkata satu anugerah akan diperkenalkan pada tahun ini untuk mengiktiraf sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam membantu meningkatkan pencapaian pelajar di sekolah.

Katanya penilaian akan dilakukan terhadap pimpinan PIBG yang aktif bekerjasama dengan pihak sekolah.

"Kita bagi satu anugerah kepada pimpinan PIBG seluruh negara bagi mana-mana yang mencapai tahap kecemerlangan di sekolah," katanya. mStar

Tiada ulasan: