Isnin, 10 Oktober 2011

"Tiada masalah jika adil,", kata ahli Gerakan Datuk Chan Jong Ju


DUNNGUN – “Tiada masalah laksanakan hudud jika ia memberi keadi-lan buat semua, jika ia baik, ikut, lagipun kaum Cina diberi pilihan untuk amal atau tidak,” kata Pengerusi Persatuan Murid-murid Tua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwang Hwa, Datuk Chan Jong Ju ketika ditanya berkaitan cadangan Kerajaan Pas di Kelantan melaksanakan hukum hudud.

Jong Ju berkata, biarpun beliau ahli Gerakan dan penyokong setia Kerajaan Barisan Nasional (BN), namun ia bukanlah hala-ngan untuknya melihat dan mengkaji apakah kebaikan hukum hudud yang suarakan Pas daripada Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, apa yang lebih penting pemahaman selain pelaksanaannya yang boleh memberi keadilan kepada semua kaum tidak mengira pangkat, bangsa atau keturunan mereka.

“Apa yang saya faham hudud itu adalah undang-undang yang ditentukan Tuhan untuk semua.

“Sebagai pengamal agama Buddha, saya tiada masalah kalau ia baik untuk kita, amal hudud tidak semestinya kita tukar agama, kita masih lagi amalkan agama masing-masing,” katanya.

Jong Ju berkata, undang-undang sedia ada adalah dibawa oleh Kerajaan British, ikut acuan British.

“Ia bukan undang-undang ciptaan masyarakat Malaysia, justeru ada yang mungkin tidak sesuai untuk kita,” katanya.

Chan yang juga Pengerusi Tadika Cina Kwang Kwa berkata, apa pun undang-undang diamalkan di negara ini, apa yang lebih penting adalah ia dapat memberikan kesejahteraan kepada rakyat dan negara.

“Biarlah keamanan yang kita kecapi ini terus dipertahankan dan perpaduan masyarakat berbilang bangsa hendaklah dieratkan.

“Kita harus rasa bertuah sebab walaupun negara kita mempunyai masyarakat berbilang bangsa, namun saling menghormati antara satu sama lain dan tiada sekatan mengamalkan agama,” katanya.- SH

Tiada ulasan: