Isnin, 31 Oktober 2011

Stadium Nasional: Kementerian minta JKR turut kaji struktur stadium selain bumbung

Diterbitkan oleh: Editor@WD


Kementerian Belia dan Sukan juga telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) agar mengkaji semula struktur binaan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, yang dilaporkan telah melebihi tempoh jaminan, sama ada masih selamat digunakan selain isu bumbung.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 mahu bumbung stadium itu yang siap dibina pada 1998 diselenggara dengan segera demi keselesaan dan keselamatan pengguna.

“Kementerian Belia dan Sukan akan meminta JKR melakukan kajian semula bagi mengetahui tahap keselamatan stadium terbabit sebelum berlaku sebarang perkara yang tidak diingini,” kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau mengulas mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang menyebut bahawa bumbung Stadium Nasional Bukit Jalil (gambar) daripada jenis membrane dari Jerman itu mempunyai tempoh jaminan selama 10 tahun, namun semakan audit mendapati ia masih diguna sehingga kini dengan sebahagian besar bumbung telah terkoyak dan skru kabelnya longgar serta berkarat.

Laporan Audit itu turut menyatakan bahawa kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan pada Disember lalu untuk membaiki bumbung stadium itu.

Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kapasiti 90,000 penonton merupakan venue sukan utama negara dan bertaraf antarabangsa antaranya seperti Sukan Komanwel (1998), Sukan SEA (2001), perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Indonesia (2010), perlawanan akhir Piala Malaysia dan pernah dikunjungi pasukan ternama EPL seperti Manchester United, Liverpool, Arsenal dan Chelsea.

Ahmad Shabery berkata kementeriannya menyerahkan tanggungjawab membaiki bumbung Stadium Nasional kepada JKR demi keselamatan pengguna.

Dipetik Bernama Online, kata beliau, tanggungjawab itu diserahkan kepada JKR kerana kementeriannya tidak mempunyai kepakaran dalam hal tersebut.

“Kita tidak boleh membaiki sebahagian sahaja daripada bumbung yang bocor kerana ia perlu diganti semua bahagian yang mana kos boleh mencecah RM40 juta,” katanya.

Mengenai pembelian 23 ekor kuda bernilai RM5.6 juta oleh Institut Sukan Negara (ISN) tanpa kelulusan Kementerian Kewangan seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara, Ahmad Shabery berkata pembelian tersebut tidak mengikut tatacara kerja yang betul.

Katanya pembelian secara terus itu berlaku kerana ISN berdepan dengan masalah kesuntukan masa mencari kuda yang berpotensi untuk menyertai Kejohanan Kuda Lasak Dunia Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (WEC) pada 2008 dan Pertandingan Ekuestrian Kebangsaan dan Sukan Asia di Guangzhou, China pada 2010.

“Pada masa itu ISN tidak mempunyai kepakaran dalam hal berkaitan kuda namun jika wujud unsur terbuka ataupun penyalahgunaan kuasa, maka saya akan pastikan perkara ini disiasat,” katanya.

Semakan Audit Negara 2010 mendapati kesemua kuda yang dibeli oleh ISN telah dibuat melalui rundingan terus tanpa mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan terlebih dahulu.

Mengikut laporan tersebut, perolehan kuda juga dibuat tanpa disertakan dengan surat tawaran ataupun perjanjian yang menggariskan tanggungjawab pembekal.

Tiada ulasan: